Individu ada gelaran perlu elak terjebak rasuah, salah guna kuasa

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Setiap individu yang dianugerahkan sesuatu gelaran khususnya para pemimpin beragama Islam perlu mengelakkan diri mereka daripada terjebak kesalahan jenayah, salah guna kuasa dan rasuah.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, Islam sendiri meletakkan garis panduan yang jelas terhadap tanggungjawab pemerintah dan rakyat.

Justeru, menurut beliau, pemerintah perlu menghormati rakyat dengan meletakkan hak-hak tertentu termasuk taat kepada perintah ALLAH SWT.

“Dalam konsep negara hukum, yang harus dijadikan tonggak dalam dinamika kehidupan kenegaraan adalah undang-undang, bukan politik ataupun ekonomi.

“Yang disebut pemerintahan pada pokoknya adalah undang-undang sebagai sistem, bukannya sesetengah individu dilindungi daripada siasatan atas pengaruh yang dimiliki.

“Jadi, tanpa mengira besar atau kecil jawatan atau gelaran seseorang itu, semua wajar disiasat berlandaskan lunas undang-undang sekiranya pihak berkuasa mempunyai bukti bahawa mereka terlibat dengan sesuatu kesalahan, tanpa mengira fahaman politik,” tegasnya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju mereka yang mempunyai darjah kebesaran berpangkat ‘Tun’ juga perlu disiasat sekiranya tidak dapat menjelaskan secara terperinci bagaimana memperoleh kekayaan.

Dalam pada itu, Zairudin berkata, kedaulatan undang-undang dalam Rukun Negara menunjukkan kepentingan prinsip-prinsip tersebut dalam memastikan tiada siapa terlepas daripada siasatan dan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

“Dalam bahasa ringkas, kedaulatan undang-undang bermakna, kerajaan dan rakyat secara keseluruhannya terikat oleh undang-undang dan semua pihak wajib mematuhi undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun ujarnya, ketelusan setiap pemimpin dalam menjalankan tanggungjawab mereka, tidak boleh dinilai sama rata.

“Kita tidak perlu meletakkan secara pukal bahawa semua individu yang mempunyai kuasa atau jawatan tinggi tidak telus dalam pekerjaan mereka,” tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!