Ambil iktibar kes TRW
"PERTAMA kali saya amat bersimpati atas hukuman penarikan Lesen Kebangsaan dikenakan terhadap Kelantan FC yang menyaksikan kelab itu tidak dapat beraksi pada Liga Super musim depan."
Itu reaksi penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli ketika mengulas perkembangan terkini Kelantan yang tidak layak bertanding dalam saingan Liga Super 2024/25.
“Saya tahu pemiliknya Zamsaham telah berusaha keras untuk menyelesaikan pelbagai isu berkaitan tunggakan gaji, bayaran KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) pemain dan sebagainya.
“Dia pasti sangat kecewa dengan keputusan ini, sudah pasti ia merencatkan hasrat untuk menjadikan musim 2024/25 sebagai peluang untuk menjana semula pendapatan dan menebus hutang-hutang lama.
“Tambah malang dan menyedihkan kepada Zamsaham kerana saya rasakan dia tidak mendapat banyak sokongan daripada rakan kongsi tempatan (mungkin sebab dia orang luar Kelantan) menyebabkan niatnya untuk menyelamatkan Kelantan FC tidak begitu dihargai,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Pasukan tercorot musim 2023, The Red Warriors (TRW) sebelum itu disahkan tidak layak bertanding saingan tertinggi Liga Malaysia selepas gagal memperoleh Lesen Kebangsaan pada tarikh akhir pada Ahad.
Pengerusi badan bebas First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Pelesenan Kelab Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) FIB yang diadakan secara dalam talian.
Katanya, keputusan itu terpaksa dibuat selepas kegagalan Kelantan untuk melengkapkan dua Kriteria Kewangan di bawah subkriteria F.04 dan subkriteria F.11 sebelum tarikh akhir yang ditetapkan masing-masing pada 30 November dan 31 Disember.
Jelasnya, kriteria Kewangan di bawah subkriteria F.04 merujuk kepada No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS - As At June, manakala sub-kriteria F.11 mengenai No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS - As At August.
“Setelah gagal menyelesaikan Langkah Pertama dan Langkah Kedua pada 30 November dan 31 Disember 2023, maka Kelantan FC gagal untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi saingan Liga Super 2024/25,” katanya dalam kenyataan MFL pada Isnin.
Bagaimanapun Pekan percaya FIB dan MFL serta FAM sudah mempertimbangkan sebaik-baiknya dan memberikan secukup-cukup masa serta sangat bertoleransi kepada Kelantan FC dalam isu tunggakan gaji pemain dan pegawai yang tular hingga ke pengetahuan Persatuan Pemain-pemain Profesional Malaysia dan juga Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Jadi janganlah anggap ia suatu keputusan yang zalim atau tidak adil yang telah diambil FIB.
"Keputusan itu bagaikan terpaksa dan juga demi melindungi kebajikan pemain dan agar ia tidak bertambah parah".
“Pada waktu yang sama juga tindakan ini diharap dapat memberi pengajaran khususnya kepada pasukan-pasukan lain yang masih berhutang dengan pemain dan juga pihak-pihak berwajib agar tidak memandang ringan perkara ini.
“Cuma saya agak risau sedikit dengan nasib pemain-pemain dan pegawai yang menanti bayaran hutang itu nanti, memang pemilik Kelantan FC masih harus bertanggungjawab dengan hutang itu tetapi kalau pasukan itu sudah tidak lagi dibenarkan bersaing di Liga Super lagi apakah perkara ini masih akan diberi perhatian?
“Memang hutang tetap hutang, namun kekecewaan juga boleh menyebabkan isu ini tidak lagi mendapat perhatian utama pemilik Kelantan FC, jadi bersedialah untuk berdepan dengan pelbagai kemungkinan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!