Ikan kaloi hidup lebih 'berharga'

Gambar kiri: Zainal Abidin menyiang ikan kaloi untuk pelanggan (kiri). (Gambar kanan) Ikan kaloi seberat lebih 3kg hasil memancing di Sungai Kubang Panjang.
Gambar kiri: Zainal Abidin menyiang ikan kaloi untuk pelanggan (kiri). (Gambar kanan) Ikan kaloi seberat lebih 3kg hasil memancing di Sungai Kubang Panjang.
A
A
A

TUMPAT - Ikan kaloi menjadi sumber pendapatan sampingan kepada seorang kaki pancing dari Kampung Telaga Bata di sini sepanjang musim tengkujuh sejak sebulan lalu.

Zainal Abidin Mohd Noor, 37, bekerja sendiri memancing di Sungai Kubang Panjang kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

Menurut Zainal Abidin, saiz ikan kaloi yang diperoleh antara satu hingga 4.5 kilogram (kg) dan dijual pada harga RM10 untuk 1kg tetapi lebih mahal jika ikan itu hidup.

"Ikan kaloi hidup mendapat permintaan daripada orang ramai untuk dijadikan ikan hiasan di kolam dan nampak lebih eksklusif," katanya kepada Sinar Harian.

"Penggemar ikan ini sanggup membayar pada harga lebih tinggi kerana tahu kesukaran kaki pancing untuk menjaga dan memastikan ikan tidak mati terkena mata kail," katanya.

Bagaimanapun jelasnya, ikan kaloi memang sedap dimasak tiga rasa atau goreng kunyit kerana tidak hanyir seperti spesies ikan sungai lain.

Jelasnya lagi, harga ikan itu yang seberat kira-kira tiga kilogram dan sudah dimasak ialah antara RM80 hingga RM100, namun bergantung pada jenis masakan di restoran atau kedai makan.

Sebagai kaki pancing katanya, waktu sesuai untuk memancing ikan ialah pada awal pagi.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan keluar rumah selepas solat Subuh dengan membawa peralatan memancing serta umpan dan berada di sungai itu antara empat hingga lima jam," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!