Harimau muncul di Kuala Balah, Jeli
JELI - Satu keluarga berdepan detik cemas apabila melihat seekor harimau belang berkeliaran di Jalan Kuala Balah-Dabong dekat Bukit Kiwi, di sini pada Ahad.
Kehadiran haiwan liar itu dilihat oleh keluarga berkenaan pada jam 2 petang semasa mereka melalui jalan tersebut dari Rantau Panjang untuk pulang ke Seremban, Negeri Sembilan.
Wan Nor Azizah Wan Ali, 50, berkata, sejurus melihat kehadiran pak belang itu sepupunya terus menghubunginya untuk memaklumkan kejadian tersebut.
"Dia (sepupu) berbuat demikian kerana saya menetap di Kuala Balah. Sepupu meminta saya untuk menghebahkan perkara tersebut kepada pengguna laluan berkenaan.
"Saya kemudian memuat naik gambar tersebut di Facebook dengan meminta penduduk dan pengguna supaya berhati-hati," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Menurutnya, sepupunya itu kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Ujarnya, ini merupakan kali pertama harimau ditemukan berkeliaran di tepi jalan utama.
Wan Nor Azizah memberitahu, 20 tahun lepas ada penduduk di Kuala Balah ditemukan mati dipercayai dibaham harimau.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan perkara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!