Akta Omnibus akan digubal tahun ini - Kementerian Ekonomi
PUTRAJAYA - Akta Omnibus dijangka digubal pada tahun ini bagi membenarkan perkongsian data dan penyimpanan awan dalam kalangan agensi kerajaan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron.
Beliau berkata, pelaksanaan integrasi data daripada setiap agensi kerajaan perlu disokong melalui punca kuasa perundangan perkongsian data yang kukuh dan mampan.
Menurutnya, setiap pangkalan data tertakluk kepada peraturan dan akta yang berkaitan menyebabkan kesukaran dalam perkongsian data antara agensi.
"Sebahagian pangkalan data yang sedia ada pula lebih bersifat silo dan ‘non-interoperable’ antara satu sama lain.
"Keadaan ini menyulitkan perkongsian dan pengintegrasian data serta menyebabkan proses penyelarasan data PADU mengambil masa yang panjang,” katanya dalam ucapan pembukaan sempena majlis peluncuran Pangkalan Data Utama (PADU) di sini pada Selasa.
Bagi menangani cabaran tersebut, Nor Azmie berkata, sesi libat urus yang berterusan di pelbagai peringkat, termasuk oleh menterinya, Rafizi Ramli dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali telah diadakan.
Memorandum persefahaman turut diadakan bersama agensi berkaitan bagi membolehkan perkongsian data, katanya.
"Risiko keselamatan dan kebocoran maklumat terperingkat juga sering dibangkitkan oleh pelbagai pihak. Oleh itu, aspek keselamatan data dan siber turut diberi perhatian serius melalui pengukuhan pembangunan sistem serta kerjasama strategik dengan semua pihak yang berkaitan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pembangunan PADU akan melalui beberapa fasa yang turut melibatkan pengumpulan data pentadbiran bagi pembangunan PADU yang tertumpu kepada kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan yang mempunyai pangkalan data masing-masing pada fasa pertama.
Setakat ini, katanya, sebahagian besar agensi di peringkat Persekutuan telah bersetuju untuk membekalkan data termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Tenaga Nasional Bhd.
"Selain itu, PADU juga memerlukan beberapa maklumat penting daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.
"Berdasarkan jurang digital yang masih wujud, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman, kita menjangkakan akan ada sebahagian rakyat yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan Internet.
"Perkara ini telah diambil kira dalam perancangan pelaksanaan PADU melalui penyediaan perkhidmatan kaunter khusus yang berhampiran dengan tempat tinggal masing-masing,” katanya.
Buat masa ini, pendaftaran boleh dibuat di Pejabat Operasi Negeri Jabatan Perangkaan Malaysia dan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) selain pasukan petugas khusus juga akan diwujudkan bagi membantu individu yang berada di kawasan jauh terpencil dan tidak mempunyai akses Internet.
"Pasukan ini akan dilengkapi dengan perkhidmatan Starlink bagi membolehkan pendaftaran dilaksanakan secara dalam talian,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!