KLFA akan singkir pemain gagal menyerlah
KUALA LUMPUR akan menyingkirkan para pemain yang gagal menyerlah pada kempen Liga Premier 2020 bagi merealisasikan misi The City Boys kembali ke saingan Liga Super 2021.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abd Samad berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan para pemain yang gagal menyerlah dan sekadar menjadi penumpang skuad warga kota itu.
“Saya merasakan pasukan ini tidak sepatutnya berada di Liga Premier pada asalnya. Saya tidak memahami apa yang berlaku pada musim lalu (sehingga tersingkir dari Liga Super) kerana kita mempunyai bakat yang secukupnya.
“Matlamat kita adalah untuk muncul juara Liga Premier musim ini kerana tidak mahu Kuala Lumpur duduk di divisyen kedua lebih dari setahun. Kita harus menang perlawanan pertama dan terus kekal di tangga teratas sehingga akhir musim. Kontrak (pemain) dengan KLFA adalah untuk menzahirkan prestasi permainan yang terbaik dan itu tanggungjawab mereka.
“Kita sebagai majikan, tanggungjawab kita adalah memastikan semua yang dijanjikan (gaji, kelengkapan dan kemudahan) dipenuhi,” katanya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.
Khalid berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani pemain bagi Pasukan Liga Premier 2020 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras hari ini.
Bagi merealisasikan objektif mara ke Liga Super 2021, Khalid Samad meminta semua para pemain dan pengurusan The City Boys memberikan fokus dan komitmen penuh.
Tanpa mendedahkan jumlah bajet, Khalid berkata, dana bagi musim ini yang bakal bermula pada 28 Februari mencukupi untuk perbelanjaan pasukan dan pembayaran gaji pemain.
Seramai 26 pemain menandatangani kontrak termasuk dua pemain import iaitu pemain tengah dari Brazil, Paulo Josue yang dinamakan sebagai kapten pasukan selepas kekal bersama pasukan itu buat musim keempat dan pemain baharu di bahagian pertahanan, Azamat Baimatov dari Kyrgyzstan.
Antara pemain tempatan bersama skuad The City Boys adalah pemain kebangsaan, Akram Mahinan, pemain veteran Shukor Adan, S Subramaniam, Qayyum Marjoni dan Nik Shahrul Azim Abdul Halim.
Sementara itu, Pengendali Kuala Lumpur, Mohd Nidzam Adzha berkata, keputusan mengenai dua lagi pemain import akan diputuskan selepas aksi persahabatan menentang UiTM FC pada Jumaat ini, di mana pasukan itu sedang menguji dua pemain di bahagian serangan iaitu pemain Perancis, Guy Gnabouyou dan bekas pemain Melaka United, Davy Angan dari Ivory Coast.
“Mesej daripada presiden adalah jelas, jadi kita akan berazam untuk mencapai matlamat itu. Kita perlu membentuk keharmonian dan keserasian kerana hanya tujuh pemain dari musim lalu kekal bersama pasukan. Lebih kurang 70 hingga 80 peratus adalah pemain baharu,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!