Kerajaan digesa dedahkan strategi capai matlamat Ekonomi Madani
SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk mendedahkan strategi yang akan dilakukan bagi merealisasikan matlamat Ekonomi Madani.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, setiap satu tindakan penstrukturan akan dipantau pelaksanaan dan dilaporkan prestasinya.
“Apakah tindakan-tindakan penstrukturan semula yang bersifat strategik yang akan digerakkan bagi merealisasikan Ekonomi Madani? Kementerian manakah yang akan menerajui setiap satu penstrukturan semula ini? Apakah sasaran untuk tahun 2024?
"Tindakan untuk membangunkan negara adalah tanggungjawab semua dan satu kementerian sahaja mencukupi kerana sehingga kini hasrat menstruktur semula ini hanya kedengaran daripada beberapa pemimpin,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.
Tambah Noor Azlan, beberapa tindakan strategik mengubah pendekatan dan tatacara yang diumumkan perlu diberi keutamaan.
Jelas beliau, Malaysia sepatutnya berani untuk segera berubah dan meninggalkan kaedah lama yang diwarisi serta tidak lagi berkesan.
“Tetapi, bagaimanakah kerangka Ekonomi Madani ini diperturunkan dan dilaksanakan oleh semua kementerian dan agensi kerajaan?
“Apakah tindakan-tindakan strategik yang akan dilakukan bagi merealisasikan Ekonomi Madani? Jelas ini penting bagi memastikan semua kita bergerak bersama,” ujarnya.
Tambah Noor Azlan, semua kementerian perlu memahami tanggungjawab masing-masing dan mampu membezakan aspek pengoperasian lazim dengan tindakan strategik untuk mengangkat misi besar menstruktur semula ekonomi negara.
Katanya, ahli Kabinet perlu bersatu dan setiap menteri serta agensi-agensi yang di bawahnya mesti jelas dengan mandat strategik itu agar mampu menggerakkan penstrukturan yang diperlukan.
“Jangan Ekonomi Madani hanya di ucapan Perdana Menteri tetapi tidak kedengaran di tempat lain,” ujar Noor Azlan.
Justeru, beliau menggesa kerajaan untuk memberikan perhatian dan komitmen sepenuhnya dalam menstruktur semula ekonomi negara agar ia menepati keperluan pertumbuhan yang mampan.
Jelasnya, langkah itu sebagai permulaan memastikan Malaysia menjadi sebuah negara maju, berpendapatan tinggi dan dihormati.
“Hampir semua masalah yang dihadapi sudah lama dikenal pasti dan dinyatakan dalam pelan-pelan pembangunan, namun komitmen menjayakan penstrukturan semula ekonomi negara jelas tidak bermaya.
“Semua pemimpin dan perancang ekonomi negara mesti jelas, fokus kepada misi menstruktur semula ekonomi negara.
“Kalau kita ingin mengukur kejayaan mengurus ekonomi negara, ciri-ciri struktur inilah yang seharusnya menjadi petunjuk kepada kita, bukannya peratus pertumbuhan ekonomi yang turut dipengaruhi oleh prestasi global,” katanya.
Menurut Noor Azlan, suasana global akan kekal mencabar dan pertumbuhan ekonomi dunia dijangka menurun buat kali ketiga berturut-turut, 3.5 peratus pada 2022, 3.0 peratus (2023) serta 2.9 peratus (2024).
Tambah beliau, negara-negara maju juga dijangka kekal lembap daripada 2.6 peratus (2022), 1.5 peratus (2023) dan 1.4 peratus (2024).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!