Tujuh dicekup serbuan banteras judi dalam talian, loteri haram
ALOR SETAR - Seramai tujuh individu diberkas dalam dua serbuan berasingan kerana terlibat dalam aktiviti judi dalam talian dan loteri haram pada malam Ahad.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, lima lelaki berusia antara 21 hingga 62 tahun ditahan di kawasan Taman Mutiara, Sungai Kob, Kulim atas kesalahan judi dalam talian sementara dua lagi terlibat dalam aktiviti loteri haram.
“Turut dirampas lima buah telefon bimbit disyaki digunakan untuk tujuan aktiviti judi dalam talian serta sejumlah wang tunai,” katanya dalam sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah pada Selasa.
Menurutnya, lima individu terbabit disiasat bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Kesalahan ini memperuntukkan hukuman denda RM10,000 hingga RM100,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas, selain penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan,” jelasnya.
Fisol berkata, bagi serbuan penjualan loteri haram, polis menahan dua lelaki warga tempatan berusia 19 dan 38 tahun di sebuah premis di lokasi sama.
“Polis turut merampas bahan kes seperti wang tunai dan peralatan digunakan untuk aktiviti loteri haram dalam premis yang diserbu.
“Kedua-dua tangkapan disiasat bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda tidak kurang dari RM20,000 dan tidak lebih RM200,000 serta hukuman penjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan,” katanya.
Tegas beliau, Jabatan Siasatan Jenayah (JSN) Kontinjen Kedah akan terus komited membanteras aktiviti perjudian, termasuk aktiviti yang menyalahi undang-undang bagi memastikan kesejahteraan masyarakat.
Dalam ucapannya sebelum itu, Fisol memaklumkan menerusi Op Pintas, polis Kedah telah mendakwa empat suspek di bawah Seksyen 4(1) C akta yang sama.
“Bagi kes jenayah komersial sepanjang tahun lalu menunjukkan peningkatan termasuk jumlah kerugian dialami mangsa.
“Sebanyak 2,247 kes direkodkan dengan jumlah kerugian lebih RM 73 juta, berbanding tahun 2022 sebanyak 1,853 kes dengan jumlah kerugian lebih RM 56 juta,” katanya.
Menurutnya, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 394 kes selain peningkatan jumlah kerugian sebanyak RM 17 juta.
“Kita telah laksanakan 20 operasi pada tahun 2023. Sebanyak 1,160 operasi dilaksanakan melibatkan 1,257 tangkapan berbanding tahun sebelumnya sebanyak 758 operasi dengan 784 tangkapan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fisol memaklumkan, jumlah jenayah indeks Kontinjen Kedah bagi tempoh Januari hingga Disember 2023 adalah 4,570 kes, berbanding tempoh sama tahun 2022 sebanyak 4,658 kes, iaitu penurunan sebanyak 88 kes atau 1.89 peratus.
“Pelbagai kejayaan dicapai menerusi Op Tiris, tangkapan kes samun kedai emas serta kes pecah rumah.
“Pada tahun lepas, sembilan operasi dijalankan hasil maklumat Cawangan Khas Kedah, merangkumi enam Op Subdi, Op Dadu Jol Calling Centre, Op Pintas dan Op Kontraban rokok seludup.
“Jumlah rampasan Op Subdi sebanyak 185,000 liter diesel bersamaan RM 397,750,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!