Edar ganja: Pemandu pelancong berdepan hukuman gantung
KANGAR - Seorang pemandu pelancong yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Kangar pada Selasa berdepan hukuman gantung selepas dituduh mengedar dadah jenis ganja di Wang Kelian pada Disember lalu.
Tertuduh, P Navienthiran, 25, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret, Nurshahida Abdul Rahim.
Bagaimanapun, tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh memandangkan kes berkenaan membabitkan hukuman gantung sampai mati.
Berdasarkan pertuduhan, Navienthiran didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 3.68 kilogram di Laluan Pejalan Kaki (Import), Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian, Kaki Bukit pada jam 9.35 pagi, 21 Disember 2023.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu boleh digantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup serta disebat tidak kurang dari 15 kali sebatan.
Kes pendakwaan dilaksanakan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Perlis, Siti Nurfirziatul Fazliani Mohd Zain.
Nurshahida menetapkan 6 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menanti laporan kimia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!