Penumpang hidu bau asap sebelum bas terbakar

Keadaan bas yang musnah dalam kebakaran di Jalan Rawang menghala Selayang petang tadi. - Foto: JBPM Selangor
Keadaan bas yang musnah dalam kebakaran di Jalan Rawang menghala Selayang petang tadi. - Foto: JBPM Selangor
A
A
A

SELAYANG - Beberapa penumpang terhidu bau asap sebelum bas henti-henti dinaiki mereka mula berasap dan terbakar petang tadi.

Kejadian dilaporkan berlaku jam 4.13 petang di Jalan Rawang menghala Selayang berhampiran Aman Siara melibatkan bas membawa 50 penumpang.

Seorang penumpang yang mahu dikenali sebagai Roslan berkata, bau asap tersebut datangnya dari belakang bas disedari sejak mula menaiki kenderaan berkenaan dari Batu 16 Rawang, kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian.

"Salah seorang rakan bertindak memaklumkan kepada pemandu bas berhubung bau asap itu, namun pemandu berkenaan masih meneruskan perjalanan, namun melihatkan asap yang semakin banyak, semua penumpang menjerit meminta agar pemandu bas berhentikan kenderaan,” katanya.

Katanya, semua penumpang meluru keluar dari bas sebaik pemandunya memberhentikan kenderaan di bahu jalan

“Ketika itu kami lihat api sedang menyala dan semakin marak hingga membakar keseluruhan bas tersebut.

“Alhamdulillah, semua penumpang selamat dan tiada kecelakaan menimpa kami,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian sebelum meneruskan perjalanan menaiki bas ganti.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Penguasa Bomba Zulfikar Jaffar berkata, PGO menerima panggilan kecemasan jam 4.13 petang dan 11 anggota dari Balai Bomba Penyelamat Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Bas henti-henti yang membawa 50 penumpang terbakar dan berjaya dipadamkan oleh pihak bomba.

"Kebakaran menyebabkan kemusnahan keseluruhan bas. Semua penumpang berjaya menyelamatkan diri serta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Katanya, punca kejadian dan anggaran kerugian masih disiasat.

Insiden bas terbakar itu adalah kejadian kedua berlaku dalam tempoh tiga hari.

Kejadian pertama dilaporkan berlaku di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Kuil Batu Caves pada malam Ahad lalu.

Dalam kejadian tersebut, bas henti-henti itu tiada penumpang dalam perjalanan pulang ke depoh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!