Ibu tunggal dipenjara 24 tahun kerana salah guna wang syarikat
MELAKA - Seorang bekas eksekutif akaun syarikat dijatuhi hukuman penjara 24 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa atas pertuduhan melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan jumlah lebih RM680,000.
Tan Siau Ling, 43, yang juga ibu tunggal dijatuhi hukuman tersebut selepas membuat pengakuan bersalah atas enam pertuduhan yang dibacakan terhadapnya dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd Sabri Ismail.
Mengikut pertuduhan, Siau Ling sebagai eksekutif akaun di Syarikat Hap Yeng Seng Sdn Bhd didapati melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang daripada akaun United Overseas Bank milik syarikat terbabit ke dalam beberapa akaun bank milik peribadi dan bekas suaminya berjumlah keseluruhan RM680,108.13.
Kesalahan itu dilakukan di Syarikat Hap Yeng Seng Sdn Bhd Jalan PM 5, Plaza Mahkota, di sini, antara 24 Mei 2019 sehingga 23 Oktober 2019.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 14 tahun dan dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda.
Mengikut fakta kes, pengadu yang juga Pengarah Urusan Syarikat Hap Yeng Seng Sdn Bhd telah membuat semakan audit pembayaran kepada pembekal pada 30 September 2019 dan mendapati berlaku penyelewengan oleh tertuduh membabitkan 47 transaksi yang tidak sah.
Hasil semakan lanjut mendapati invois bayaran dan baucar pembayaran nama syarikat yang dibayar berbeza susulan tindakan tertuduh yang memindahkan wang tersebut ke dalam beberapa akaun.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Rashidah Baharom mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat, selain mengambil kira nilai kerugian yang dialami syarikat berkenaan membabitkan jumlah besar.
Tertuduh yang diwakili peguam, Nur Atifah Kamal Effendi memohon hukuman penjara minimum diberikan dengan alasan perlu menanggung tiga anak masih bersekolah dan ibu yang uzur selain telah insaf dengan perbuatan itu.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 20 Jun tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!