DAP perlu ambil tindakan dalaman, elak isu berulang

Azhar
Azhar
A
A
A

IPOH - DAP wajar mengambil tindakan dalaman yang lebih tegas terhadap pemimpin mereka yang mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti Melayu dan agama Islam, kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negeri (Amanah) Perak, Azhar Rahman.

Beliau berkata, tindakan itu supaya dapat dijadikan pengajaran kepada pemimpin pada masa akan datang untuk tidak lagi mengulangi kegelojohan sama seperti dilakukan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.

"Amanah Perak turut kesal dengan tindakan dan sikap tidak cermat ditunjukkan pemimpin senior DAP itu.

"Meskipun Setiausaha Agung, Anthony Loke menyatakan bahawa kenyataan tersebut adalah khilaf dan Koo Ham sendiri telah memohon maaf, namun tindakan tersebut telah menjadi peluru musuh politik yang sememangnya menunggu-nunggu kenyataan yang menyentuh hal ehwal Melayu dan Islam dikeluarkan oleh pimpinan DAP sebagai modal politik mereka," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, Amanah Perak mengakui, kenyataan yang mencadangkan supaya pakar bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah untuk menggubal undang-undang Islam itu adalah bertentangan dengan prinsip Pakatan Harapan yang menjunjung prinsip Perlembagaan Persekutuan.

"Kita mendukung penuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini," katanya.

Koo Ham sebelum ini dilapor membuat saranan supaya kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.

Susulan cadangan tersebut, Penasihat DAP Perak itu mendapat kecaman hebat daripada pemimpin-pemimpin Islam dalam negara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!