PADU jamin manfaat, kemudahan dinikmati golongan berhak - PM
PUTRAJAYA - Kemudahan dan manfaat yang diberikan kerajaan bakal dinikmati sepenuhnya oleh golongan berhak menerusi Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif tersebut mampu mengurangkan ketirisan dan perbelanjaan subsidi yang ditanggung kerajaan melebihi RM80 bilion.
“Hari ini kita telah kenalkan PADU di mana seperti dijelaskan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, pertamanya ia selaras dengan pendekatan dan transformasi digital.
“Kedua, ia memberi jaminan manfaat dan kemudahan itu dinikmati orang yang berhak menerimanya dan tentunya dengan cara demikian dapat kurangkan kos serta ketirisan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran PADU di sini pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta barisan Kabinet yang lain.
Menurut Anwar, perbelanjaan kerajaan dalam semua bidang bagi membantu rakyat miskin seperti di desa, pedalaman, nelayan dan petani telah mencecah RM22 bilion sedangkan kajian menyatakan penyaluran subsidi tidak sampai kepada kumpulan sasar.
“Subsidi diberikan kerajaan dikira dengan nilai sekarang mencecah RM80 bilion dan tidak mungkin Malaysia bertahan uruskan kewangan belanjawan jika hal ini tidak dapat diperbaiki,” jelasnya.
Beliau berkata, subsidi yang diberikan sebelum ini turut dinikmati hampir 3.5 juta warga asing dengan nilai perbelanjaan mencecah RM10 bilion.
“Istilah subsidi ialah bantuan kepada orang memerlukan, tetapi amalan Malaysia tahun demi tahun tidak pernah tukar yang mana ia diberikan kepada semua rakyat termasuk golongan maha kaya yang menggunakan elektrik lebih tinggi.
“Maka dilaksanakan tahun ini (penyasaran subsidi elektrik) dan hasilnya ikut unjuran, penjimatan lebih RM4 bilion kerana ia tidak diberikan kepada golongan maha kaya dan warga asing,” jelasnya.
Pendaftaran PADU dibuka secara langsung bermula Selasa sehingga 31 Mac depan bagi membolehkan orang ramai mengemas kini serta mengesahkan 39 item maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.
Semua rakyat yang berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU.
Sistem tersebut mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia, merupakan pangkalan data sosio ekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan data dari jabatan dan agensi kerajaan bagi memberikan gambaran seadilnya mengenai kedudukan sosio ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuli Ali perlu memantau pelaksanaan sistem PADU agar ia mencapai matlamat yang diidamkan.
“PADU penting, ia jamin saluran subsidi sampai dan ia tunjukkan keupayaan dan penyertaan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!