Jangan letak ayat al-Quran pada tempat tak sepatutnya termasuk poster

KETAHUILAH bahawa menulis ayat al-Quran pada poster iklan bersama gambar tidak sepatutnya merupakan satu penghinaan terhadap ayat-ayat kitab suci umat Islam itu sendiri.
KETAHUILAH bahawa menulis ayat al-Quran pada poster iklan bersama gambar tidak sepatutnya merupakan satu penghinaan terhadap ayat-ayat kitab suci umat Islam itu sendiri.
A
A
A

BUKAN sahaja al-Quran perlu dimuliakan, tetapi kalamullah yang terkandung di dalamnya juga wajib dipelihara.

Siapa lagi kalau bukan kita umat Islam yang mahu menjaga kesucian al-Kitab tersebut, bukan? Malangnya, akhir-akhir ini kita dapat melihat ada bait-bait suci ayat al-Quran digunakan pada tempat tidak sepatutnya. Ia termasuklah dalam penggunaan poster untuk tujuan promosi.

Walaupun bukanlah berlaku di negara ini, tetapi tempiasnya turut terkena pada kita. Ini kerana dunia digital tanpa sempadan pada hari ini menyaksikan terlalu banyak perkara boleh dilihat.

Ketahuilah bahawa menulis ayat al-Quran pada poster iklan bersama gambar tidak sepatutnya merupakan satu penghinaan terhadap ayat-ayat kitab suci umat Islam itu sendiri.

Bahkan, tegas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perbuatan itu boleh diumpamakan sebagai memperolok-olok dan mempermain-mainkan kesucian al-Furqan berkenaan.

Jelas bahawa perilaku tersebut merupakan satu jenayah berat yang boleh mengundang dosa besar.

Ia berdasarkan firman ALLAH SWT: "Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main." Katakanlah: "Patutkah nama ALLAH dan ayat-ayat-NYA serta rasul-NYA kamu memperolok-olok dan mengejeknya?" Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika KAMI maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka KAMI akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah." (Surah at-Taubat, ayat 65-66)

Artikel Berkaitan:

BERHATI-HATILAH menggunakan ayat al-Quran pada gambar atau tempat tidak sepatutnya.
BERHATI-HATILAH menggunakan ayat al-Quran pada gambar atau tempat tidak sepatutnya.

Bukan itu sahaja, pejabat mufti itu menjelaskan, para ulama bersepakat bahawa perbuatan meremehkan dan mempermainkan kesucian al-Quran boleh dikategorikan sebagai kafir dan terkeluar dari agama Islam.

"Ia sebagaimana yang dinyatakan oleh Qadi Iyad dalam karyanya, asy-Syifa bahawa para ulama bersepakat, seseorang itu jatuh kafir sekiranya dia meremeh atau menghina walaupun sebahagian daripada al-Quran.

"Oleh itu, memelihara dan menjaga kesucian al-Quran merupakan tanggungjawab semua pihak.

"Seharusnya pihak yang terlibat lebih peka dan berrhati-hati dalam perkara yang sensitif seperti ini supaya tidak menjadikan ayat al-Quran sebagai bahan promosi dengan meletakkkannya pada poster, gambar dan mana-mana tempat tidak sepatutnya," katanya.

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengemukakan garis panduan dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysiatentang aktiviti berkaitan bahan-bahan yang mengandungi ayat suci al-Quran.

Berikut perinciannya:

1. Orang yang membuat urusan pembuatan ialah orang Islam seperti menjilid, filem dan sebagainya.

2. Ayat yang dicetak hendaklah diambil daripada al-Quran mashaf Rasm Uthmani dan mengikut kaedah seni khat yang betul.

3. Dilakukan di tempat yang bersih dan terkawal daripada pencemaran najis.

4. Gunakan bahan-bahan pembuatan dan alat-alat yang bersih dan suci mengikut hukum syarak.

5. Tidak terdedah keapda kemungkinan dilangkah atau dipijak seperti diletakkan di atas lantai.

6. Menyediakan tempat pembuangan khas untuk dilupuskan.

7. Dilarang mencetak ayat al-Quran di akhbar-akhbar, key-chain, kasut, baju, kad ucapan, kad undangan perkahwinan, jubin, VCD dan seumpamanya kerana dikhuatiri tidak dapat menjaga kesuciannya sekalipun untuk tujuan pengiklanan.

Justeru, berhati-hatilah dalam setiap tindak-tanduk kita dan jangan sesekali mencemari kalamullah dengan perkara tidak sewajarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!