Pesawat Japan Airlines terbakar semasa mendarat
TOKYO - Sebuah pesawat Japan Airlines dilaporkan terbakar di Lapangan Terbang Haneda di Tokyo pada Selasa dan anggota bomba dilaporkan sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran ketika ini.
Japan Airlines memaklumkan, pesawat 516 terbabit dalam perjalanan dari Lapangan Terbang New Chitose, Hokkaido menuju ke Lapangan Terbang Haneda.
Menurut laporan NHK, api yang marak kelihatan menjulang keluar dari tingkap-tingkap dan bahagian atas pesawat ketika ia masih lagi dalam pergerakan, menurut laporan media tempatan dan imej yang kini tersebar di media sosial.
Dilaporkan, pesawat terbabit dipercayai terlanggar sebuah pesawat pengawal pantai Jepun sejurus mendarat di Lapangan Terbang Haneda.
Susulan insiden tersebut, semua pesawat yang sepatutnya mendarat di lapangan terbang itu dilencongkan ke lokasi lain.
Berdasarkan data daripada Flight Radar, penerbangan yang dijadualkan tiba sebelum dan selepas 6.30 petang (waktu tempatan) semuanya diarahkan mendarat di lapangan terbang lain. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!