PBAPP sedia 10 tangki air jumbo hadapi gangguan bekalan
JURU - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan menyediakan 10 unit lori tangki air jumbo berkapasiti 20,000 hingga 30,000 liter air sebagai persiapan menghadapi gangguan bekalan air berjadual yang akan berlaku selama empat hari bermula 10 Januari ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, 10 unit tangki Jumbo itu akan diletakkan di lokasi-lokasi awam yang ditetapkan oleh PBAPP.
Menurutnya, lori-lori tangki jumbo itu akan diisi dengan air dari loji rawatan air (LRA) yang masih berfungsi di Balik Pulau dan Bukit Toh Alang, Bukit Mertajam.
"Lori-lori tangki milik Persatuan Bomba Sukarela (PBS) boleh mengambil bekalan air dari lori tangki air jumbo ini untuk diedarkan kepada pengguna di kawasan-kawasan terlibat.
“Langkah ini akan dapat memendekkan masa perjalanan dari loji rawatan ke tempat penyediaan bekalan air untuk diedarkan kepada pengguna,” katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Persatuan Bomba Sukarela Juru di sini pada Selasa.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung.
Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, pihaknya akan turut membekalkan lapan unit tangki untuk membekalkan air ke hospital dan pusat dialisis di negeri ini.
"PBAPP juga menggunakan 15 unit tangki air flexi berkapasiti 10,000 liter untuk kegunaan awam.
"Selain itu Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) turut menyediakan tujuh unit tangki air bagi membantu pengguna terjejas di kawasan Seberang Perai manakala Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan sediakan tangki air yang akan dibekalkan mengikut jadual,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Kon Yeow berkata, sebanyak 34 pasukan PBS dari lima daerah negeri ini dan satu unit PBS dari Parit Buntar akan membantu menyalurkan bantuan bekalan air menggunakan 35 unit lori tangki.
Bagaimanapun, beliau berharap air yang disimpan oleh penduduk cukup untuk kegunaan sekurang-kurangnya pada 10 Januari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!