Nilai sebuah kemaafan
ANTARA 99 Asma’ulllah al-Husna ialah al-Ghaffar yang bermaksud Maha Pengampun. ALLAH memang Maha Pengampun malah sangat suka kepada hamba-Nya yang bertaubat.
Pernah tak kita disakiti, dianiaya, dizalimi dan pelbagai lagi bentuk perkataan atau perbuatan yang menyakitkan kita baik zahir atau batin? Pernah tak kita ungkapkan begini: "Saya maafkan tetapi saya tidak akan lupakannya,” atau “saya maafkan tapi saya tidak mahu bertemu dengannya sampai mati?"
Saya yakin mesti ada yang pernah ungkapkan begitukan? Mengapa ya?
Rasulullah SAW pernah disakiti oleh penduduk Taif ketika berdakwah kepada mereka. Kaum Bani Thaqif melempar batu sehingga berdarah kaki Baginda. Malah, Malaikat Jibrail membuat tawaran kepada Baginda untuk membinasakan masyarakat Taif dengan dua buah gunung. Tahukah anda apa respon Baginda? Baginda menolak tawaran tersebut. Kenapa? Dalam diri Baginda penuh dengan kasih sayang. Penuh dengan kemaafan. Penuh dengan belas kasihan.
Jika kita berada di tempat Baginda ketika itu, agak-agaknya apa respon kita ya? Mungkin agaknya kita terus memberi laluan kerana sangat marah ekoran daripada kesakitan yang dialami.
Tahun 2019 melangkah pergi meninggalkan kita. Itu bermakna umur kita meningkat lagi. Setiap perubahan saat, minit, jam, hari, minggu, bulan dan tahun, semuanya akan memberi kesan kepada umur kita.
Jika kita lihat di luar sana, sangat banyak perubahan. Jika dalam bidang teknologi maklumat, tak sempat kita kuasai sesuatu perkara berkaitan dengannya, sudah muncul lagi suatu yang baru. Pasti setiap hari kita dengar pencapaian baru dalam bidang tersebut. Oleh itu, amat wajar setiap saat ke depan, kita berubah menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
Sempena kehadiran tahun 2020, marilah sama-sama kita audit hati kita dan ketepikan hal orang lain. Muhasabah diri dan jangan menyibukkan diri dengan menilai orang lain.
Cuba cari dalam diri kita ada tak rasa ego? Ada tak sifat suka memaafkan orang lain biarpun dia tidak memohon maaf?
Jika dalam diri kita tiada rasa ego dan memaafkan orang itu adalah budaya hidup kita, alhamdulillah. Teruskan budaya cemerlang tersebut.
Bagi yang masih ada ego dan masih sukar untuk maafkan orang, cuba fikir dan letakkan diri kita di tempat orang yang sangat perlukan kemaafan kita. Bayangkan andai kata kita berada dalam saat-saat menghadapi sakit yang dari segi adatnya kita akan mati, orang yang kita minta maaf daripadanya tidak mahu memaafkan kita. Adakah kita boleh rasa gembira sedangkan maut sedang menunggu kita.
Menjadi seorang yang pemaaf adalah sangat disayangi dan dimuliakan ALLAH. Dalam surah al-Syura, ayat 43, ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal yang diutamakan.”
Tidak mahukah kita diampunkan ALLAH sehingga kita menjadi terlalu ego untuk tidak memaafkan orang lain? Adakah kita merasa diri kita terlalu hebat sedangkan ALLAH yang menciptakan kita sentiasa mengampuni kita jika kita memohon keampunan daripada-Nya.
Ketahuilah bahawa sesungguhnya ALLAH SWT mempunyai sifat pemaaf. Surah al-Nisa’, ayat 149 yang bermaksud: “Jika kamu menyatakan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya ALLAH Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.”
Rasulullah SAW ialah teladan buat kita sudah sekian lama dalam membina sifat pemaaf.
Ubah diri
Selain daripada Baginda, baru-baru ini ditularkan video yang menunjukkan seorang bapa yang bernama Dr Abdul Munim Sombat Jitmoud sanggup memaafkan pembunuh anaknya kerana keyakinannya bahawa setiap manusia buat silap, ALLAH sebut dalam al-Quran jika kita memaafkan sesama manusia, ALLAH akan maafkan segala kesalahan kita.
Agak-agaknya jika kita di tempat bapa tersebut, adakah kita mampu melakukan sepertinya?
Adalah menjadi harapan bermula tahun 2020, saya dan semua rakyat Malaysia akan berusaha untuk mengubah diri sendiri dan bukannya menyibuk untuk mengubah orang lain. Kita mampu ubah diri kita tetapi kita tidak mampu untuk mengubah orang lain kerana segalanya terletak pada kehendak dirinya. ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan jika kaum tersebut mengubah nasib mereka.
Kita hanya boleh berubah jika dalam diri kita ada kehendak untuk berubah dan sudah pasti sebagai orang Islam kita hendaklah sentiasa berdoa agar ALLAH permudahkannya untuk kita.
Kita mesti pastikan perangai buruk yang sudah berzaman kita jaja dan bela dibuang segera. Berusahalah mencari ubat untuk membuang segala sifat mazmumah. Marilah sama-sama kita jadi rakyat Malaysia yang akan berusaha untuk buat yang terbaik demi kesejahteraan hidup dalam masyarakat berbilang kaum.
Akhir kalam, hidup kita bukan selamanya akan menongkat langit. Jadilah seorang yang mudah meminta maaf dan memberi maaf.
* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan syariah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!