Tiada amalan kabel, mesti lulus UKKM untuk ke MRSM - Asyraf Wajdi
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan mengekalkan dasar pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) iaitu perlu lulus Ujian Kemasukan Ke MRSM (UKKM) sebelum dipertimbangkan ke insititusi pendidikan tersebut.
Justeru Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang rayuan atau 'amalan kabel' untuk menempatkan pelajar yang gagal ujian berkenaan bagi menjamin kualiti produk MRSM.
"Saya ada menteri yang mengawal selia (MRSM) iaitu Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).
"Beliau selalu berpesan kepada saya agar sentiasa berpegang kepada prinsip, jangan menurunkan kualiti MRSM dan patuh kepada dasar asas iaitu mesti lulus UKKM.
"Kalau nak bantu sekali pun, bantulah mereka yang berpendapatan rendah (B40).
"Bagi mereka yang merayu, itu proses biasa kerana akan ada 10 hingga 15 peratus yang ditawarkan (kemasukan) akan menolak atas beberapa faktor," katanya dalam Wacana Sinar edisi 426 bertajuk 'MRSM untuk B40 sahaja?' yang disiarkan secara langsung menerusi platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Turut diundang sebagai panelis ialah Presiden Persatuan Bekas Pelajar MRSM (Ansara), Mohd Fadzli Yusof dan bekas guru MRSM, Nur Aziera Mohd Ramli manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!