Diumpan keluar hotel ke ladang sawit sebelum dibunuh - Pendakwaan
TAWAU - Pendakwaan kes perbicaraan enam anggota polis dan seorang awam yang didakwa membunuh seorang pemandu e-hailing akan membuktikan bahawa mangsa telah diumpan keluar dari sebuah hotel di sini dan diarah memandu ke ladang kelapa sawit di mana dia ditikam pada 13 Januari tahun lepas.
Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreem Mamat dalam ucapan pembukaan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, bedah siasat turut mengesahkan bahawa punca kematian mangsa adalah kecederaan parah pada leher disebabkan oleh objek tajam.
Di kandang tertuduh ialah bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Senior Asisten Komisioner Datuk Mat Zaki Md Zain, lima anggota polis iaitu Rosdi Rastam, 45; Denis Anit, 45; Fabian Rungam, 44; Khairul Azman Bakar, 47; Mohd Azlan Sakaran, 40, dan John Kennedy Sanggah, 44, serta seorang awam Vivien Fabian, 34.
Rosdi, Denis, Fabian, Khairul Azman, Mohd Azlan, Kennedy dan Vivien didakwa membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Baru 5 di sini di antara 7.30 malam hingga 11.30 malam mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Mat Zaki, 59, pula berdepan dua pertuduhan iaitu bersubahat membunuh Nurman mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.
Pada prosiding hari ini, empat saksi memberi keterangan termasuk seorang pekerja ladang sawit iaitu Kereiun Elbis yang merupakan orang pertama menemukan mayat Nurman dan sebuah kereta di Estet Liew Tet Chung pada pagi 16 Januari 2023.
Kereiun berkata, dia turut menunjukkan laluan ke lokasi penemuan mayat kepada Koperal Sharifuddin Yusop manakala Pengurus Estet itu Liew Tet Chung pula memaklumkan mahkamah dia ternampak sebuah kenderaan jenis Myvi ketika membawa pekerjanya itu untuk menabur baja.
Tet Chung berkata, dia ternampak mayat mangsa di tepi kenderaan terbabit dan menghubungi abang saudaranya yang kemudian menyuruh dia menghubungi polis.
Khairul Azreem turut dibantu oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Lina Hanini Ismail, Rohaiza Abdul Rahman, Low Qin Hui dan Mohammad Fakhrurrazi Ahmad manakala Mat Zaki, Khairul Azman, Mohd Azlan, Vivien dan John Kennedy diwakili peguam Ram Singh serta Kamarudin Mohmad Chinki.
Peguam Datuk Ansari Abdullah, Abdul Gani Zalieka dan Erveana Ansari Ali mewakili Rosdi, Denis pula diwakili peguam Hairul Vaiyron Othman dan Luke Ressa Balang manakala Fabian diwakili peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, Zahbia Ophent serta Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol bersambung esok. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!