Skuad menembak bidik tiket Olimpik di Jakarta

Nur Suryani (kanan) bersama skuad menembak berlepas ke Jakarta pada Isnin.
Nur Suryani (kanan) bersama skuad menembak berlepas ke Jakarta pada Isnin.
A
A
A

SKUAD menembak negara masih berpeluang meraih tiket ke Sukan Olimpik 2024 menerusi dua kejohanan yang menawarkan tempat ke Paris pada temasya yang berbaki 205 hari lagi itu.

Ia bermula dengan Kejohanan Kelayakan Olimpik Rifle/Pistol Asia 2024 di Jakarta dari 5 hingga 18 Januari dan kejohanan kelayakan terakhir di Rio de Janeiro, Brazil pada 11 hingga 19 April,

Jurulatih pasukan menembak, Mohd Firdaus Abd Rahim memberitahu, kejohanan di Lapang Sasar Menembak, Jakarta itu disertai lapan penembak termasuk penembak berpengalaman, Nur Suryani Mohamed Taibi selain juara 10m air pistol wanita Sukan SEA 2021 Nurul Syasya Nadiah Mohd Ariffin dan Alia Sazana Azahari.

Beliau berkata, kejohanan tersebut menjadi gelanggang buat mereka untuk menambah slot ke Paris selepas Jonathan Wong berjaya meraih tiket ke temasya terbesar dunia berkenaan pada tahun lalu.

"Mereka dalam kalangan penembak terbaik negara ketika ini.

"Pemilihan ke kejohanan itu dibuat oleh MSN (Majlis Sukan Negara) dan (NSAM) Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia," katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Mohd Firdaus turut menyifatkan kejohanan di Jakarta itu sebagai mencabar dan cukup sengit kerana masih ramai atlet dari banyak negara belum meraih slot ke Paris.

Beliau berkata, setelah gagal berbuat demikian pada Kejohanan Menembak Dunia di Baku, Azerbaijan Ogos lalu dan Kejohanan Asia di Chanhgwon, Korea Selatan Oktober lepas kejohanan kali ini menjadi medan buat penembak Asia memburu tiket Olimpik.

"Cabaran agak susah kerana banyak negara tak lepas masa di Baku dan Korea Selatan akan 'hentam' di Jakarta untuk dapat slot ke Olimpik.

Artikel Berkaitan:

"Indonesia sebagai tuan rumah pun buru slot, selain India dan banyak negara Asia lain pun memasang impian sama. Jadi saingan memang sengit.

"Andai terlepas peluang di Jakarta, masih ada lagi di Brazil, tapi cabaran pun sukar kerana ia melibatkan penembak dari benua Asia dan Eropah. Apa pun penembak negara akan cuba yang terbaik di Jakarta," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!