Pendidikan sivik pilih pemimpin
SEBAGAI sebuah negara demokrasi dengan perlembagaan bertulis, hak rakyat Malaysia untuk mengambil bahagian di dalam pilihan raya sama ada sebagai pengundi atau calon adalah terjamin.
Setiap rakyat Malaysia apabila mencapai usia 18 tahun, tertakluk kepada beberapa syarat teknikal, akan disenaraikan secara automatik sebagai pengundi dan layak untuk mengundi setiap lima tahun sekali.
Penurunan had umur kepada 18 tahun dan pendaftaran secara automatik, melambangkan kepercayaan yang diberikan kepada golongan muda untuk menentukan masa depan negara untuk memilih wakil rakyat yang diberi mandat untuk membawa aspirasi masyarakat di dalam proses pembikinan undang-undang yang bertujuan untuk menjamin kesejahteraan rakyat.
Sejauh manakah rakyat dididik bagi memastikan pilihan mereka di dalam pilihan raya adalah tepat?
Kesilapan memilih tidak akan dapat dibaiki sehinggalah pilihan raya yang akan datang.
Oleh yang demikian, pendidikan pengundi yang bermula dengan pendidikan sivik adalah amat penting bagi memastikan hanya mereka benar-benar layak dipilih untuk menerajui pentadbiran negara.
Pendidikan sivik adalah ilmu tatarakyat yang diajar bermula dari prasekolah sehingga ke universiti bertujuan membentuk masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai patriotisme, memahami hak dan tanggungjawab sebagai seorang warganegara, berpengetahuan mengenai sistem pentadbiran, sejarah dan budaya politik selain memahami peranan serta bidang kuasa organ pengurusan negara iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman.
Adalah menjadi tugas hakiki bagi kerajaan untuk memastikan setiap warganegara faham dan menghayati perkara-perkara asas yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pengundi yang celek ilmu akan memilih wakil rakyat kompeten yang akan membentuk kerajaan yang mantap.
Kebelakangan ini banyak kenyataan yang dibuat oleh pemimpin negara yang mengelirukan kerana bertentangan dengan isi kandungan Perlembagaan Persekutuan.
Perbincangan politik di warung-warung tidak memberi kesan yang besar kepada negara.
DI sebalik kenyataan oleh pemimpin yang melibatkan 3R (Race, Religion, Royalty) amat berbahaya sekiranya tidak mengikut lunas perlembagaan yang menjadi tunjang kepada undang-undang di negara ini.
Ini jelas menunjukkan bahawa setiap warganegara tanpa mengira kedudukan di dalam masyarakat harus faham serta menghayati kandungan perlembagaan.
Penghayatan terhadap sesuatu perkara harus bermula dengan pendidikan dan amalan yang memberi nilai kepada setiap insan yang mengamalkan perkara tersebut.
Rukun Negara yang merupakan visi kepada kesejahteraan negara akan tercapai sekiranya prinsip-prinsip yang termaktub di dalam Rukun Negara tersebut diamalkan sepenuhnya oleh setiap warganegara.
Agak malang kerana penghayatan terhadap Rukun Negara dan prinsip-prinsip yang berkaitan seolah-olah hilang dari kehidupan masyarakat Malaysia.
Promosi dan pendidikan masyarakat berkenaan Rukun Negara juga sudah jarang kedengaran.
Di beberapa buah negara jiran, pendidikan berkaitan kewarganegaraan sama ada secara formal di institusi-institusi pendidikan ataupun yang dijalankan oleh pertubuhan-pertubuhan sivil, kelihatan memberi impak positif terhadap jati diri rakyat serta perasaan bangga sebagai warganegara.
Pendidikan yang sama boleh dilakukan di negara ini, tetapi haruslah dijalankan secara menyeluruh dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.
Platform seperti sekolah, universiti, pusat-pusat latihan dan program latihan khidmat negara amat sesuai untuk dijadikan asas pendidikan sivil.
Apa yang lebih penting adalah penghayatan dan amalan terhadap nilai-nilai murni harus diteruskan dan diperkukuhkan.
Semoga tahun 2024 membawa lebaran baharu terhadap pemahaman perlembagaan rakyat negara ini melalui pendidikan sibil dan pendidikan pengundi.
Ini adalah sejajar dengan cadangan penambahbaikan yang dikemukan oleh Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihanraya pada tahun 2020.
* Amerul Muner Mohammad adalah mantan Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan raya, JPM, Pengasas Bersama Centre for Electoral Education and Democracy, Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!