Jangan jadi 'bingkai kepada bangkai' perangi penyelewengan
SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk mengambil langkah proaktif dalam membanteras rasuah terutamanya apabila melibatkan agensi tertentu agar tidak menjadi 'bingkai kepada bangkai'.
Setiausaha Majlis Ekonomi Halal (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, secara zahirnya Malaysia mempunyai infrastruktur lengkap dan komprehensif dalam menangani kegiatan itu, namun sebaliknya yang berlaku kini.
"Kerajaan juga telah mewujudkan kerangka misi dan visi perangi rasuah menerusi Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) dan Pelan Integriti Nasional.
“Malangnya ada pihak gagal menemukan diri mereka yang sebenar, malah masih berselindung di sebalik tembok jahil dan berpendapat rakyat tidak perlu campur tangan dalam urusan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Helmi, tindakan mereka dalam menentang hak rakyat untuk mendedahkan kegiatan tidak bertanggungjawab itu seolah-olah sudah lupa diri.
Tegas beliau, pihak terlibat perlu dikenakan tindakan sewajarnya apabila terdapat aduan daripada rakyat mengenai kegiatan rasuah yang dilakukan oleh mereka.
Katanya, sikap tidak amanah dan tidak berintegriti sewaktu bertugas akan terus meningkat selagi tiada tindakan tegas diambil dan seolah-olah mereka tidak gentar dengan undang-undang sedia ada.
“Adakah mereka tidak sedar bahawa mereka dibayar gaji oleh rakyat yang bayar cukai?
"Sedarlah anda dibayar gaji untuk berkhidmat kepada rakyat bukan berlagak dengan rakyat,” ujarnya.
Oleh itu katanya, agensi yang berperanan dalam menangani isu rasuah selain Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antaranya Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) perlu lebih agresif dalam mencegah rasuah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!