Siasatan terhadap bekas PM perlu telus

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

BUAT pertama kalinya dalam catatan sejarah negara, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi bekas Perdana Menteri Malaysia pertama dipenjarakan kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Apakah nasib bekas-bekas Perdana Menteri selepas Najib? Apabila kerajaan baharu memimpin Malaysia, rakyat mengharapkan pimpinan baharu ini membawa Malaysia ke sistem baharu yang lebih adil, saksama dan bebas secara sepenuhnya.

Tetapi kita disajikan dengan pendakwaan bekas Perdana Menteri sehingga ia dianggap sebagai norma biasa apabila kerajaan beralih tangan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi bekas Perdana Menteri kedua yang dihadapkan di mahkamah atas enam pertuduhan.

Namun Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Presiden Bersatu itu atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

Kemudian ada pula pihak yang mendesak agar bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad disiasat susulan siasatan ke atas tokoh konglomerat, Tun Daim Zainuddin terutama berkaitan kekayaan yang dimiliki oleh anak-anaknya.

Sementara dua hari lepas, sebuah akhbar memetik sumber melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil seorang bekas Perdana Menteri dan dua pembantu dalam siasatan ke atas tiga kes berasingan dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan dana.

Barangkali sudah menjadi trend semua bekas Perdana Menteri Malaysia akan disiasat dan dikenakan tindakan.

Artikel Berkaitan:

Yang terlepas daripada siasatan hanyalah Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussien Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimana pula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, apakah beliau juga akan disiasat selepas tidak menjadi Perdana Menteri nanti?

Siasatan terhadap bekas-bekas Perdana Menteri perlu dilakukan secara telus.

Jika benar-benar ada kes, siasatan memang wajar dilakukan sekiranya mereka tidak dapat menjelaskan di mana atau bagaimana mereka mendapat wang itu, sudah tentulah wajar tindakan diambil.

Ini kerana bekas Perdana Menteri juga tidak boleh terlepas daripada tindakan sekiranya mereka melakukan kesalahan.

Rasuah mesti dibanteras dengan cara apa sekalipun. Namun jangan jadikan siasatan itu sebagai senjata atau dendam politik semata-mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!