1,000 ekor ikan siakap 90 sen habis dalam 45 minit
KUALA TERENGGANU - Pembukaan cawangan keempat bagi jenama Ikan Flyover di Kuala Ibai di sini mendapat sambutan luar biasa apabila 1,000 ekor ikan siakap berharga 90 sen seekor habis dijual dalam tempoh 45 minit.
Pemiliknya, Sauffian Sauji, 37, berkata, premis tersebut diserbu pelanggan seawal jam 6.30 pagi dan ikan siakap pada harga rendah itu habis dijual sekitar jam 8 pagi.
"Hari ini sambutan cukup luar biasa dan orang datang bermula selepas subuh lagi jadi kita mula-mula jual dalam 500 kilogram (kg) ikan siakap 90 sen dan berhenti untuk beri peluang kepada mereka yang sampai lambat.
"Selepas itu kita sambung jualan ikan siakap selebihnya sekitar jam 7.30 pagi. Sekitar jam 8 pagi ia sudah habis dijual," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, pada Rabu.
Menurut Sauffian, selain ikan siakap 90 sen, terdapat pelbagai hasil laut lain yang ditawarkan dengan potongan harga sebanyak 70 peratus di premis berkenaan.
"Jualan ikan siakap istimewa ini sempena pembukaan cawangan keempat Ikan Flyover. Selain jual ikan siakap 90 sen, kita turut jual ikan siakap separuh harga misalnya harga RM10 kita jual RM5, harga RM8 kita jual RM4.
"Terdapat juga hasil laut istimewa yang kita jual iaitu udang belang yang biasanya dijual RM37 sekilogram, hari ini kita jual dalam RM30 sahaja. Selain itu kita juga ada hasil laut lain antaranya ikan merah, kerang, ikan selayang dan lain-lain lagi" ujarnya.
Menurut Sauffian, terdapat 30 pekerja bagi empat cawangan Ikan Flyover yang beroperasi di daerah Kuala Terengganu iaitu cawangan pertama di Tualang, Manir diikuti cawangan kedua di Seberang Baruh, cawangan ketiga di Gong Kiat dan keempat di Kuala Ibai.
"Kesemua cawangan ini kita akan buat jualan murah iaitu jualan mampu beli oleh semua golongan.
"Hasrat buat jualan murah ini sebab nak tolong orang disamping mahu mempromosikan cawangan baharu kita," katanya.
Sementara itu, seorang suri rumah, Norhidayah Ibrahim, 38, berkata, dia tidak sempat untuk membeli ikan siakap 90 sen seekor.
"Saya datang dari Kampung Kijing, Marang dengan hasrat nak beli ikan siakap 90 sen, tapi tak bernasib baik sebab sampai-sampai ikan ni dah habis.
"Walaupun begitu, saya bersyukur sebab dapat juga saya beli yang tiga ekor RM10. Dengan harga ini bagi saya ia amat murah dan dah dapat jimat banyak dah ni. Memang berbaloi lah siapa yang datang untuk membeli di sini hari ini," ujarnya.
Sementara itu, seorang peniaga kedai makan, Kamaruddin Osman, 56 berkata, dia membeli 26 ekor ikan bagi kategori harga tiga ekor RM10.
"Dekat setengah jam juga duduk di sini tapi berbaloi sebab 26 ekor ikan siakap yang saya beli itu hanya RM81.
"Jualan ikan begini amat bagus untuk peniaga seperti saya sebab ia adalah harga runtuh dan bonus untuk peniaga kedai makan. Kalau beli di pasar untuk seekor harga berbelas ringgit juga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!