Tahun Melawat Kelantan 2024 sasar 10 juta pengunjung
KOTA BHARU - Kerajaan negeri menyasarkan 10 juta pengunjung domestik dan luar negara akan masuk ke bumi serambi Makkah sempena Tahun Melawat Kelantan 2024.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, ia akan dicapai jika tiada halangan dari segi wabak penyakit atau lain-lain perkembangan yang boleh membantutkan usaha tersebut.
"Kami yakin jumlah itu boleh dicapai, lagipun ia masih dalam proses pelaksanaan," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.
Sebelum itu beliau mengadakan lawatan ke tapak telaga Tok Kenali tiga iaitu Warisan Ulama Nusantara Pasir Tumboh di sini anjuran Persatuan Pegawai Kakitangan Masjid Kelantan.
Menurut beliau, pada masa sama pelbagai rancangan dan program telah dirangka dalam menyemarakkan Tahun Melawat Kelantan 2024.
Ujarnya, kerajaan negeri komited menjadikan Kelantan sebagai salah satu tarikan pelancong di negara ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas itu berkata, pihaknya sudah merangka pertemuan dengan pemain industri pelancongan di Kelantan.
"Langkah itu bertujuan melihat perancangan untuk jangka masa panjang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!