Sidang DUN Sabah kecoh

Hajiji ketika hadir pada sidang DUN Khas Sabah di Kota Kinabalu.
Hajiji ketika hadir pada sidang DUN Khas Sabah di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin tidak berpolitik dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas Sabah yang berlangsung di sini pada Rabu.

Sidang DUN Khas itu kecoh seketika selepas Justin mendakwa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai kerajaan 'yes man' kerana tidak membantah kenaikan tarif elektrik oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

Justin yang menyampaikan ucapan bahasnya beberapa kali menyebut mengenai kegagalan kerajaan GRS di bawah pentadbiran Hajiji.

"Apa sebab kerajaan Sabah tidak membantah pelarasan yang dikenakan oleh ST, saya amat geram dan kecewa terhadap kerajaan GRS mengapa menggunakan alasan seperti 'itulah keputusan kerajaan Persekutuan'.

"Kerajaan negeri tak boleh buat apa-apa untuk menjustifikasikan dasar yang sudah tentu akan membebankan rakyat Sabah tanpa berunding betul-betul dengan pihak berkenaan bagi mencerminkan kerajaan ini adalah kerajaan yang prihatin dan lantang bersuara untuk memihak rakyat Sabah.

"Sebaliknya kerajaan GRS yang dipimpin oleh Yang Berhormat Sulaman (Hajiji) sering gagal untuk berjuang hak-hak orang Sabah dan seolah-oleh sudah menjadi 'yes man' kepada kerajaan Persekutuan.

"Kami telah menyaksikan bagaimana Yang Berhormat Sulaman menjawab Ketua Pembangkang mengenai penubuhan Syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) dalam sidang sebelum ini, Ketua Menteri sebut ini bukan kuasa kerajaan Sabah tetapi kuasa kerajaan Persekutuan," katanya.

Susulan kenyataanya itu, ADUN Kemabong Datuk Rubin Balang mencelah dan menyatakan bahawa ucapan bahas Justin telah melencong daripada topik perbahasan iaitu mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Elektrik 2024.

Artikel Berkaitan:

Keadaan sedikit tegang apabila Hajiji akhirnya mencelah bahawa ADUN Sri Tanjong lebih kepada berpolitik dalam perbahasannya.

"Ini ADUN daripada Sri Tanjong hanya pandai cakap, temberang saja. Jangan cakap tidak tentu di sini, jangan cakap politik di sini, jangan tuduh macam-macam.

"Itu saja sebab kerana kerajaan GRS gagalkah? Apa punya wakil rakyat ini, cakap politik yang tidak tentu menghasut macam-macam," tempelaknya.

Bagaimanapun, Justin mempertahankan diri bahawa dia tidak berpolitik sebaliknya hanya bertanya adakah Ketua Menteri membantah apa yang dilaksanakan ST.

"Saya tidak menghasut, ini fakta," tegasnya.

Sementara itu, beberapa ADUN dilihat turut berdiri untuk mencelah termasuk ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasni Daya; ADUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar dan ADUN Elopura, Calvin Chong.

Bagaimanapun, kekecohan yang berlangsung selama lebih tiga minit itu akhirnya berjaya dikawal apabila Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Al Hambra Tun Juhar meminta semua ADUN bertenang dan duduk.

"Yang Berhormat, kawal perasaan semua. Sri Tanjong, sila kekal kepada RUU, saya tidak mahu dengar sebarang maklum balas negatif. Kita mahu sesuatu yang produktif, sila teruskan kepada cadangan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!