Nelayan Pantai Puteri rugi ribuan ringgit akibat pencemaran
MELAKA - Nelayan di Pantai Puteri di sini, meluahkan kekecewaan kerana terpaksa menanggung kerugian akibat peralatan menangkap ikan seperti jaring rosak akibat pencemaran sampah di perairan pantai itu.
Isu yang melanda kira-kira 470 nelayan termasuk di lapan pengkalan didakwa berlaku bertahun lalu hingga mereka kerugian ribuan ringgit.
Nelayan, Mohd Muszairi Mohamed, 37, berkata, masalah itu didakwa berpunca daripada kontraktor pembersihan yang melakukan kerja-kerja memotong rumput dan mengutip sampah tidak secara sistematik hingga membiarkan sampah sarap termasuk rumput dan ranting pokok ke dalam laut.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pendapatan mereka terjejas teruk susulan hasil tangkapan berkurangan selepas mengalami kerosakan jaring pukat hanyut.
"Saya mengalami kerugian kira-kira RM8,000 disebabkan jaring koyak rabak akibat rumput, kayu kayan dan plastik tersangkut dalam jaring.
"Buka sekali, tapi situasi ini sudah banyak kali terpaksa saya lalui sedangkan ini sahaja mata pencarian saya untuk menanggung keluarga," katanya ketika ditemui di Pantai Puteri di sini, pada Rabu.
Mohd Safar Mohamad, 54, turut meluahkan nasib sama apabila masalah itu seolah-olah tidak didengari pihak berkenaan hinggakan golongan nelayan sukar cari makan.
"Kami nelayan di sini tak boleh nak cari makan kerana laut penuh sampah, bila buang jaring bukan hasil tangkapan yang dapat, tapi sampah sarap.
"Harap pihak kontraktor kerja-kerja memotong rumput mematuhi prosedur pemotongan yang betul dan tidak buang sisa rumput ke parit atau longkang yang menghala ke laut.
Bagi Ketua Nelayan Pengkalan Puteri, Rosli Ahmad, 54, pula berkata, masalah sampah sarap dihanyutkan ke laut juga menyebabkan nelayan di Pantai Kundor, Pantai Rombang, Pantai Jaring, Pantai Perigi, Tanjung Kling dan Lereh turut terjejas.
Menurutnya, walaupun aduan telah dibuat, namun masalah berkenaan belum menemui jalan penyelesaian dan masih menghantui nelayan.
Katanya, pihak berkaitan perlu melakukan sesuatu supaya sampah sarap tidak dibuang ke laut malah nelayan udang geragau yang menyungkur turut terjejas hasil tangkapan mereka.
"Sampah sarap terutama rumput yang dipotong dipercayai telah membuang ke kawasan longkang yang menghala ke laut.
"Inilah punca banyak jaring nelayan rosak teruk hinggakan kami terpaksa menanggung kerugian antara RM4,000 hingga RM8,000," katanya yang telah lebih 30 tahun menjadi nelayan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi@Mohd Hashim yang turun padang mendengar permasalahan nelayan berkata, pihak berkaitan perlu membuat pemantauan terhadap kontraktor pembersihan agar tidak mengambil jalan mudah membuang sisa rumput yang dipotong ke dalam longkang dan laut.
"Jangan disebabkan kecuaian seperti ini mengakibatkan nelayan-nelayan mendapat impak negatif dan terkesan lebih-lebih lagi yang mengalir dari beberapa kampung akan ke satu sungai yang sama sebelum masuk ke perairan Pantai Puteri," katanya.
Tambahnya, bimbang keadaan itu juga akan membahayakan pengunjung dan sebelum kejadian buruk berlaku tindakan drastik perlu diambil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!