MPK 'serbu' gerai dalam kedai berkait isu kebersihan

Salah sebuah premis yang diperiksa dalam penguatkuasaan gerai dalam kedai sekitar Klang.
Salah sebuah premis yang diperiksa dalam penguatkuasaan gerai dalam kedai sekitar Klang.
A
A
A

KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) sentiasa melaksanakan penguatkuasaan berhubung garis panduan pelesenan gerai dalam kedai dari semasa ke semasa.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Norfiza Mahfiz berkata, garis panduan itu penting bagi menangani isu kebersihan premis perniagaan.

"Majlis menitikberatkan isu berkaitan kebersihan kerana ia melibatkan keselamatan pelanggan yang datang menjamu selera," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Norfiza menjelaskan, garis panduan pelesenan gerai mula berkuat kuasa pada 1 April tahun lalu.

"Garis panduan ini juga bertujuan menyelesaikan beberapa isu lain antaranya melibatkan keselamatan dan kesesakan gerai yang ditempatkan di dalam serta luar premis kedai, restoran atau medan selera," ujar beliau.

Menurut beliau, beberapa garis panduan ditetapkan antaranya jumlah premis restoran atau kedai makan dibenarkan maksimum lima unit bagi premis lot tepi dan tiga unit lot tengah.

"Bagi premis medan selera, kiraan berdasarkan saiz ruang terbuka dibahagikan dengan 330.68 kaki persegi bagi mendapatkan jumlah gerai yang dibolehkan dalam premis terbabit.

"Lesen gerai dalam kedai pula akan dilesenkan kepada pemegang lesen induk sahaja," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Norfiza memberitahu, mesyuarat MPK pada 28 Disember tahun lalu memutuskan lesen gerai dalam kedai boleh diperbaharui seperti sedia ada.

"MPK akan membuat semakan semula di premis dalam tempoh enam bulan bagi melihat kesesuaian dari aspek keselamatan, keselesaan dan kesesakan di dalam premis.

"Gerai yang berada di luar premis tidak akan diperbaharui lesen sehingga gerai tersebut ditempatkan di dalam premis," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, pembaharuan lesen gerai dalam kedai boleh dilakukan di Kaunter Bersepadu MPK atau secara dalam talian dengan mengemukakan salinan lesen induk 2023, lesen gerai dalam kedai tahun 2023 dan suntikan tifoid yang masih sah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!