Hang-seo sanggup tinggalkan Vietnam untuk bimbing Harimau Malaya
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mendedahkan bekas jurulatih Vietnam, Park Hang-seo pernah mencuba nasib untuk jawatan pengendali Harimau Malaya.
Menurutnya, Hang-seo juga sanggup menebus kontraknya yang masih berbaki bersama Vietnam pada ketika itu untuk mengendalikan Harimau Malaya.
"Untuk pengetahuan anda, Hang-seo pada ketika itu dah nak datang. Dia dah interview dengan saya dan sanggup pecah kontrak untuk datang.
"Dia bersetuju untuk datang dan berminat untuk latih pemain Malaysia kerana ada kualiti seperti Corbin Ong dan Sumareh," katanya dalam sedutan rancangan Bola Itu Life yang akan disiarkan di Astro Arena.
Namun, ia tidak menjadi kenyataan apabila Kim Pan-gon dilantik sebagai pengendali Harimau Malaya pada Mac 2022.
Hang-Seo meninggalkan Vietnam selepas gagal membawa pasukan itu menjulang Piala AFF buat kali kedua apabila tewas kepada Thailand tahun lalu.
Hang-seo mengendalikan skuad senior Vietnam sejak 2017 dan meraih 26 kemenangan, 15 seri dan 14 kekalahan dalam 55 perlawanan.
Daripada keseluruhan perlawanan itu, dia berjaya membawa Vietnam memenangi Piala AFF pada 2018.
Selain itu, Hang-seo juga sempat melatih pasukan bawah 23 tahun (B-23) Vietnam dan muncul juara dua kali dalam saingan Sukan SEA pada 2019 dan 2021 selain menjadi naib juara Piala Asia B-23 pada 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!