Amir Ahnaf janji lebih berhati-hati

Mengakui kekhilafannya, Amir berjanji untuk lebih berhati-hati.
Mengakui kekhilafannya, Amir berjanji untuk lebih berhati-hati.
A
A
A

PELAKON yang semakin meningkat naik, Amir Ahnaf berjanji untuk lebih berhati-hati sebelum menerima tawaran dan menjayakan sesuatu watak bagi mengelak kontroversi berulang.

Ia susulan video tular yang memaparkan Amir menjayakan babak tidak sopan dalam drama Syurga Itu Tidak Mudah sehingga meraih kecaman netizen.

Amir atau nama penuhnya, Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 23, turut memohon maaf kerana telah menyentuh sensitiviti penonton.

"Sejujurnya saya tidak tahu perlu menjayakan babak sedemikian dan saya berat hati juga nak buat. Saya juga tak sangka babak tersebut akan tular.

"Saya minta maaf isu ini menyentuh sensitiviti penonton. Insya-ALLAH untuk naskhah seterusnya saya akan pilih," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem pertama lakonannya, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah di Putrajaya pada Selasa.

Tambah bekas Hero Remaja 2021/2022, dia pada awalnya hanya dimaklumkan mengenai tajuk, jalan cerita dan senarai pelakon, manakala skrip pula diterima seminggu sebelum penggambaran bermula.

Bagaimanapun sebagai pelakon baharu, dia takut untuk menolak menjayakan babak panas itu kerana bimbang dituduh besar kepala.

Artikel Berkaitan:

Amir antara pelakon yang menjayakan Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.
Amir antara pelakon yang menjayakan Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

"Saya dah tanda tangan kontrak dan saya orang baru. Takut nanti dikatakan besar kepala pula. Cuma lepas ini saya akan lebih berhati-hati dan bincang kalau ada yang saya tak nak

"Apa pun saya lega bila ibu bapa saya faham kerja saya dan ingin saya tegaskan ia adalah cheat shot dan bukannya terjadi betul-betul," jelasnya.

Dalam pada itu, mengulas penglibatannya dalam filem sekuel Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan iaitu Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, Amir berkata, dia menerima tawaran itu tiga hari sebelum penggambaran bermula oleh pengarah Saiful Reza.

Katanya, sukar untuk menolak watak Andak kerana dia diperlukan untuk membawa watak anak Terengganu yang mempunyai kemahiran bersilat.

"Abang Reza sebelum ini terlibat dengan pembikinan Projek High Council dan dia yang tawarkan watak ini sebab dia rasa saya adalah pelakon yang paling sesuai nak jayakan watak Andak.

"Walaupun dapat tawaran kurang tiga hari sebelum penggambaran, saya tidak fikir panjang sebab Andak ini dekat dengan jiwa sebab digambarkan sebagai anak Terengganu yang boleh bersilat dan memanah.

"Saya memang tidak pandai memanah tapi saya sempat berlatih dan buat kajian tentang cara memanah serta pegang perang. Bagi saya sebagai pelakon kita kena sentiasa bersedia dan cepat belajar," ujarnya yang pernah belajar bersilat ketika di sekolah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!