Avalynn Cakes dipilih Syarikat Pemula Yang Paling Berdaya-Labur

Alan (empat dari kiri) dan Wendy (lima dari kiri) menerima Anugerah Perniagaan Paling Berdaya-Labur bersama enam peserta akhir yang lain selepas sesi pembentangan acara berkenaan.
Alan (empat dari kiri) dan Wendy (lima dari kiri) menerima Anugerah Perniagaan Paling Berdaya-Labur bersama enam peserta akhir yang lain selepas sesi pembentangan acara berkenaan.
A
A
A

SYARIKAT Avalynn Cakes telah dipilih sebagai Syarikat Pemula Yang Paling Berdaya-Labur dengan menewaskan 20 syarikat lain dalam Program Fundrace yang dianjurkan Digital Penang baru-baru ini.

Susulan pemilihan itu, Avalynn Cakes berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,500.

Pengasas Avalynn Cakes, Wendy Ng berkata, pemilihan syarikatnya itu benar-benar mengejutkannya dan Pengasas Bersama yang juga Ketua Pegawai Kewangan, Alan Mak.

"Berita ini amat menggembirakan kami kerana ini merupakan pembentangan idea perniagaan pertama kami. Kami bersyukur dengan pemilihan Avalynn Cakes.

"Kami akan memanfaatkan hadiah wang tunai yang dimenangi untuk bekerjasama dengan pemodal dan komuniti pelabur, mencari rakan kongsi strategik dalam memacu visi pertumbuhan syarikat," katanya.

Tambah Wendy, Avalynn Cakes bersedia untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan memulakannya di Lembah Klang dan Singapura.

"Pulau Pinang adalah 'rumah' kami dan kami berbangga dengan perkembangan perniagaan serta kejayaan yang telah dikecapi. Kami bersedia untuk berkongsi produk syarikat dengan lebih ramai pelanggan di Lembah Klang dan Singapura.

"Terima kasih kepada pelanggan setia kami dan kini syarikat sedang aktif mencari rakan kongsi strategik untuk menjadikan Avalynn Cakes sebagai jenama pilihan di setiap bandar utama yang kami terokai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Malaysian Business Angel Network (MBAN) Zon Pulau Pinang, Alan Ong berkata, Program Fundrace bertujuan untuk memangkin pertumbuhan, memberikan syarikat tempatan peluang untuk maju dan berkembang, memupuk inovasi serta mengembangkan perniagaan di rantau ini.

Katanya, Digital Penang merupakan sebuah agensi di bawah Kerajaan Pulau Pinang yang giat berusaha merapatkan jurang di antara syarikat pemula dengan pemodal.

"Program ini telah menghubungkan 20 usahawan tempatan dengan pelabur berpontensi, memacu inovasi dan perkembangan perniagaan di rantau ini.

"Ia bertujuan untuk memangkin pertumbuhan, memberikan syarikat tempatan peluang untuk maju dan mengembangkan perniagaan mereka.

"Digital Penang turut mengundang pemain-pemain industri yang utama seperti Malaysian Business Angel Network cawangan Pulau Pinang, 1337 Ventures, Artem Ventures dan Ficus dalam program berkenaan," katanya.

Menurut Alan, sebanyak 20 syarikat baru telah membentangkan idea perniagaan masing-masing semasa sesi berkenaan namun hanya enam sahaja yang terpilih untuk ke pusingan akhir.

"Enam syarikat yang terpilih ialah Certify, Dogvaa Mobility, Effortsly, Ed Counsel AI, MDaat Eco-Wellness dan Avalynn Cakes.

"Para juri telah sebulat suara memilih Avalynn Cakes sebagai Syarikat Pemula Yang Paling Berdaya-Labur dan menganugerahkan wang tunai sebanyak RM1,500 di atas pembentangan idea perniagaan mereka," tambahnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!