Ikan emas jadi 'teman'
MUMBAI - Seorang pengembara sedang menikmati hidangan sendirian di sebuah restoran menerima kejutan luar biasa daripada pihak pengurusan restoran tersebut.
Dia menerima 'teman' iaitu seekor ikan emas bernama Antonio yang diletakkan oleh seorang pelayan di atas mejanya bagi mengelakkan Prakash Mallya kesepian ketika menikmati makan malam.
Menerusi perkongsian di Twitter, Prakash Mallya berkata, "Menjejak kaki ke Mumbai dan memasuki sebuah restoran dalam hotel bagi menikmati hidangan segera. Pekerja hotel datang ke meja saya dan tinggalkan benda ini sebagai teman supaya saya tidak makan sendirian. Baik sungguh hati mereka memikirkan pelanggan dan ia tidak pernah terjadi di sepanjang perjalanan saya,” katanya.
Ingatan pihak pengurusan restoran di hotel tersebut telah menyentuh hati Prakash Mallya.
Meskipun status Prakash Mallya telah dimuat naik pada Ogos lalu, namun ia kini tular di laman sosial dan netizen juga berkongsi pengalaman sama makan di restoran seorang diri serta diberikan patung hippo comel sebagai 'teman'.
Netizen juga menyifatkan pengurusan restoran tersebut sangat memahami pelanggan mereka namun ada juga yang mengecam tindakan mereka.
"Kadang-kala saya gembira makan seorang diri tetapi tindakan pengurusan restoran sangat bagus dan saya gembira makan bersama ikan emas," kata @smililian.
Kata @lilyble pula, "Sila pastikan ikan itu ada sesuatu dilakukan bukan sekadar merenung orang sedang makan. Cuba letakkan permainan, pemandangan hijau, tempat dia boleh sembunyi atau tambah ikan lain. Mungkin ia lebih menceriakan meja pelanggan dan membuat ikan itu gembira juga.”
Sehingga kini hantaran itu meraih 13,600 tanda suka daripada netizen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!