Gibran agih susu percuma didakwa langgar peraturan kempen
JAKARTA - Badan pemerhati pilihan raya Indonesia telah memanggil anak Presiden Joko Widodo atau Jokowi yang menjadi calon wakil presiden (cawapres) bergandingan dengan calon presiden (capres), Prabowo Subianto pada Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2024) selepas beliau didakwa melanggar peraturan kempen.
Gibran Rakabuming Raka, 36, diarahkan untuk tampil memberi keterangan oleh Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) selepas bekas Wali Kota Surakarta itu mengagihkan susu percuma ketika acara hari tanpa kereta pada bulan lalu.
“Kami perlu mendengar penjelasan Gibran untuk mengesahkan dakwaan itu,” kata jurucakapnya, Dimas Trianto Putro pada Selasa.
Peraturan Gabenor Jakarta pada 2016 melarang sebarang ‘acara untuk kepentingan parti politik’ pada hari bebas kenderaan.
Sementara itu, timbalan pasukan kempen Prabowo menyatakan mereka akan menghormati keputusan Bawaslu jika tuduhan dilemparkan ke atas Gibran terbukti benar.
Pencalonan putera sulung Jokowi yang digelar ‘baby nepo’ oleh media asing terus dihimpit kontroversi setelah Mahkamah Perlembagaan membatalkan had umur pada Oktober lalu, sekali gus membuka jalan untuk beliau bertanding.
Ketika ini, Prabowo yang menjadi calon Pilpres No.2 dikatakan mendahului pesaingnya manakala populariti Anies Baswedan terus mengatasi Ganjar Pranowo berdasarkan kaji selidik pada bulan lalu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!