Sanusi yakin Langkah Dubai akan jadi kenyataan

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yakin Langkah Dubai akan menjadi kenyataan namun tidak boleh mendedahkan butirannya.

Beliau mendakwa, pemimpin Kerajaan Perpaduan pada ketika ini ibarat takut pada bayang-bayang sendiri kerana tahu akan kehilangan kuasa pemerintahan.

Menurutnya, kejatuhan kerajaan akan berlaku menerusi peralihan sokongan ahli Parlimen dan tindakan itu tidak menyalahi Perlembagaan mahupun amalan demokrasi.

“Proses yang dibenarkan undang-undang boleh dilakukan, yang tidak mengikut perlembagaan tak bolehlah. Perbuatan nyatakan sokongan selari dengan Perlembagaan.

“Ada perkara saya tak boleh dedah tetapi ia akan berlaku, semua orang yakin malah mereka juga yakin kerajaan diterajui mereka akan jatuh, mereka kini sedang kelupur,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, pada Rabu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kelompongan dalam Akta Lompat Parti menyebabkan peralihan kuasa akan berlaku namun masih dalam garis dibenarkan Perlembagaan.

“Bila ahli Parlimen PN sokong kerajaan, tak siapa bangkang. Kalau sokong Kerajaan Perpaduan digambarkan sebagai tindakan berperlembagaan berdasarkan demokrasi maka tindakan sebaliknya juga dianggap biasa.

“Kalau mereka boleh ambil lima ahli Parlimen PN, kita ambil 10 (dari mereka), tak kan marah? Kalau sokong mereka tak apa, kalau tak sokong tak kan tak boleh, itu proses biasa demokrasi dan dibenarkan dalam Perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

“Itulah lompong dalam akta tersebut, yang menunjukkan jalan ke arah lompong itu adalah mereka, jadi kita ikut saja,” jelasnya lagi.

Sanusi percaya rakyat kini semakin tertekan dengan tindak-tanduk Kerajaan Perpaduan dan tidak mampu lagi dibendung.

“Bila kita lemparkan isu tersebut kalangan rakyat, tiada yang bantah. Yang gusar hanya mereka yang akan kehilangan kuasa. Rakyat sambut baik sebab mereka sudah saksikan episod 22 bulan berulang.

“Setiap hari ada saja isu tidak sepatutnya berlaku, contohnya campur tangan dalam hal ehwal agama Islam dan tekanan kepada pihak yang tak sealiran politik. Ia berlaku lebih dahsyat berbanding ketika ditadbir oleh kerajaan 22 bulan tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, istilah Langkah Dubai hanyalah sekadar nama kerana ia berlaku lebih awal daripada pertemuan yang disebut-sebut dilakukan di Dubai.

“Saya tak fikir ada langkah apa-apa, ada kata bukan Langkah Dubai, hanya Langkah Chow Kit sebab perbincangan dibuat di Kuala Lumpur.

“Saya rasakan Langkah Dubai sekadar ‘dummy’ saja sebab tujuan ke sana hanya untuk jalan-jalan. Tak kan perlu ke Dubai bincang semua perkara. Dulu Langkah Sheraton, sebenarnya bukan, Sheraton hanya tempat mereka makan, ia berlaku sebelum itu lagi.

“Sekarang Langkah Dubai, hal-hal tersebut sudah berlaku sebelum itu,” ujarnya.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Kerajaan Perpaduan tidak terkesan dengan Langkah Dubai yang didakwa digerakkan pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada, Sanusi tidak berhasrat mendedahkan perkara tersebut dan rakyat hanya perlu menunggu ia berlaku.

“Memang orang yang nak jatuh akan kata begitu tentulah mereka takut kehilangan kuasa. Benda nak hilang tentu rasa bimbang, benda kita nak pergi ambil seronoklah.

“Insya-ALLAH, saya yakin akan berlaku. Kerajaan sedia ada tak akan bertahan sehingga lima tahun, mereka akan tumbang. Saya tahu bila tapi tak boleh bagi tahu, ia menerusi peralihan sokongan,” jelasnya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan menerima laporan risikan berkaitan Langkah Dubai, sejurus beberapa pemimpin dikaitkan dengan gerakan tersebut tiba di tempat pertemuan termasuk laporan selepas pertemuan selesai, malah beliau menyifatkan usaha itu hanya membuang masa.

Sanusi turut mengesahkan perkara itu akan menjadi kenyataan dan bukan sekadar rekaan.

“Betul lah, memang ada lah. Dia (Ahmad Zahid) pun tak lama dah jadi pakat ketaq (bimbang) sorang sikit. Tak mustahil berlaku, saya yakin tahun ini juga, kalau boleh bulan ini atau minggu ini, lagi syok.

“Kita (PN) sentiasa mencuba, pihak sana sentiasa bertahan. Macam lawan bola sepak, tak kan nak biar mereka saja score gol, kita score sama. Bila kita score janganlah marah sebab mereka sudah score awal.

“Ahmad Zahid sebut lama dah (gerakan tebuk atap), dia yakin tak tembus sebab bumbung mereka konkrit, namun tak mustahil sebab ikut demokrasi dan proses perlembagaan,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!