PADU Johor khusus untuk data usahawan

Mohd Hairi (kanan) melihat Onn Hafiz memotong burger sebagai simbolik perasmian Outlet Lazy Monday di Tebing@Bandar Dato Onn, Johor Bahru, pada Rabu.
Mohd Hairi (kanan) melihat Onn Hafiz memotong burger sebagai simbolik perasmian Outlet Lazy Monday di Tebing@Bandar Dato Onn, Johor Bahru, pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Johor yang mempunyai Sistem Pusat Data Usahawan Johor (PADU) sejak 1 Januari tahun lalu mempunyai fungsi berbeza dengan Pusat Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan pada Selasa.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, PADU di negeri ini adalah khusus untuk data usahawan yang diletak bawah Perbadanan Usahawan Johor (PUJB).

"Maklumat usahawan yang didaftarkan akan digunakan bagi menyalurkan bantuan dan keperluan kepada usahawan terbabit.

"Sekarang ada keliru antara sistem PADU di peringkat nasional dan negeri Johor kerana singkatannya sama. Di peringkat negeri PADU lebih kepada usahawan untuk dapat maklumat berkaitan bantuan usahawan seperti geran, bantuan dan keperluan usahawan Johor.

"Sistem tidak sama dan berlainan, sistem PADU Johor diuruskan oleh PUJB manakala sistem PADU kerajaan pusat untuk membantu ekonomi rakyat. Sistem berbeza, cukup berbeza," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Outlet Lazy Monday di Tebing@Bandar Dato Onn di sini pada Rabu yang disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Onn Hafiz (berdiri tujuh dari kanan) dan Mohd Hairi (berdiri lima dari kanan) merakam kenangan selepas Majlis Perasmian Outlet Lazy Monday di Tebing@Bandar Dato Onn, Johor Bahru, pada Rabu
Onn Hafiz (berdiri tujuh dari kanan) dan Mohd Hairi (berdiri lima dari kanan) merakam kenangan selepas Majlis Perasmian Outlet Lazy Monday di Tebing@Bandar Dato Onn, Johor Bahru, pada Rabu

Mohd Hairi berkata, setakat ini seramai 40,000 usahawan berdaftar di bawah PADU Johor dengan RM129 juta peruntukan telah disalurkan.

Artikel Berkaitan:

"Saya mengalu-alukan sekali lagi, seluruh usahawan Johor terus mendaftar di sistem PADU Johor, seramai yang mungkin bagi saluran bantuan dan keperluan yang sepatutnya," katanya.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan PADU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

PADU merupakan sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia.

Sistem tersebut bakal mengurangkan ketirisan dan kebocoran dalam menyalurkan subsidi kepada kumpulan sasar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!