Rayzam kejar tiket Olimpik Tokyo 2020

Rayzam (kanan) giat berlatih bagi memburu tiket ke Olimpik.
Rayzam (kanan) giat berlatih bagi memburu tiket ke Olimpik.
A
A
A

JAGUH 110 meter (m) lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian bertekad untuk cuba mencuri tiket ke Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun tahun ini.

Namun katanya, ia bukan tugas mudah apatah lagi perlu meraih catatan masa 13.32s yang menjadi syarat Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) untuk layak bertanding di Tokyo.

“Memang ia agak susah sedikit sebab catatan masa yang ditetapkan oleh Persekutuan Olahraga Antarabangsa IAAF. Namun ia bukan alasan dan saya akan cuba buat yang terbaik.

“Peluangnya mungkin 30 peratus saja untuk layak. Tetapi siapa tahu nasib saya baik dan mampu mencapai catatan masa yang ditetapkan.

“Terdapat beberapa kejohanan di luar negara untuk tahun 2020 yang boleh saya sertai untuk mendapatkan tiket ke Olimpik itu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mengulas lanjut katanya, beliau juga sedang melakukan persediaan bagi menghadapi Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Asia di China pada Februari ini sebagai persediaan untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik.

“Untuk kejohanan dalam dewan memang tidak boleh untuk dijadikan tempat mendapatkan tiket ke Sukan Olimpik. Tetapi, ia tetap persediaan terbaik saya untuk menghadapi kejohanan yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui motivasinya berada pada tahap terbaik walaupun dinafikan pingat emas pada Sukan SEA di Filipina yang sekali gus menyaksikannya gagal mempertahankan pingat yang dimenangi pada Sukan SEA di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dia tidak mahu terlalu memikirkan perkara tersebut apatah lagi ia merupakan lumrah dalam bidang sukan sambil menyifatkan peluang masih ada untuk menebus kedukaan pada Sukan SEA akan datang.

“Kecewa tetap kecewa.Tetapi ia adat dalam sukan. Perkara itu langsung tidak meruntuhkan semangat saya dan sekarang saya gigih berlatih untuk memperbaiki catatan masa saya dan menumpukan kepada memburu tiket ke Olimpik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!