Mourinho kecewa kualiti pertahanan Tottenham
PENGENDALI Tottenham Hotspur, Jose Mourinho yang kecewa dengan kualiti para pemain pertahanan The Lillywhites mengakui pembelian tonggak baharu bukan jalan penyelesaian kepada masalah berkenaan.
Sebaliknya pengendali dari Portugal itu yakin barisan pemain The Spurs sekarang masih mampu mengatasi masalah berkenaan bagi mengharungi baki saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Katanya, beliau akan memberikan penekanan kepada aspek corak latihan sekali gus meningkatkan keyakinan dalam kalangan pemain pertahanan The Spurs.
“Masalah utama kami adalah bahagian pertahanan mudah sangat dibolosi setiap kali asakan berterusan pemain lawan. Pada saya cara kami bertahan cukup bermasalah dan perlu diperbaiki segera.
“Secara jujur tahap kebolosan kami terlalu banyak dan ini amat mengecewakan saya. Jika saya adalah antara pemain di bahagian depan, saya amat kecewa dengan prestasi yang tidak konsisten menyerap asakan pemain lawan.
“Januari ini kami miliki banyak masa untuk memperbaiki masalah ini kerana saya percaya hanya dengan kerja keras mampu memperbaiki masalah ini,” katanya.
Mourinho sedar masalah berkenaan menjadi punca utama kelemahan ketara kelab London itu dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
Kelab kendalian The Special Ones itu sudah bolos 17 gol sejak menggantikan Mauricio Pochettino pada November lalu menjadi antara enam kelab besar memiliki pertahanan terburuk selepas dibolosi 29 gol.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!