Subsidi bersasar setuju atau tidak?

Kerajaan akan melaksanakan Program Subsidi Bersasar sepenuhnya bermula 2024 dengan menggunakan PADU yang dilancarkan pada Selasa. Gambar hiasan Bernama
Kerajaan akan melaksanakan Program Subsidi Bersasar sepenuhnya bermula 2024 dengan menggunakan PADU yang dilancarkan pada Selasa. Gambar hiasan Bernama
A
A
A

PADA 27 Jun tahun lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan jumlah hutang negara ketika ini adalah sebanyak RM1.3 trilion iaitu secara kasarnya nisbah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kerajaan sudah mencecah 70 peratus.

Susulan itu, kerajaan memaklumkan akan melaksanakan Program Subsidi Bersasar sepenuhnya bermula 2024 dengan menggunakan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan pada Selasa.

Rafizi berkata, program tersebut sebagai langkah untuk mengurangkan keperluan kerajaan terus berhutang selain hasil daripada penjimatan itu boleh disalurkan ke projek pembangunan.

Bagaimanapun, program berkenaan menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat kerana masih tiada perincian jelas mengenai mekanismenya.

Ikuti pandangan orang ramai mengenai keputusan kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar.

POSITIF

'Subsidi bersasar langkah tepat bantu golongan berpendapatan rendah'

SAYAsetuju subsidi bersasar dilaksanakan kerana inisiatif ini sebenarnya dapat membantu golongan yang betul-betul memerlukan dan terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi seperti mereka di bawah kelas B40 dan M40.

Artikel Berkaitan:

Setahu saya, di Malaysia ini majoriti masyarakat tergolong dalam kumpulan tersebut, jadi saya tidak rasa menjadi isu atau mendatangkan sebarang masalah jika diteruskan inisiatif tersebut.

Lagi pula, kalau kerajaan tidak menyasarkan kepada golongan tertentu sahaja seperti yang sedang berlaku pada masa kini menyebabkan warga asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) mengambil kesempatan dengan menikmati subsidi.

Ini tidak adil kerana mereka secara tidak langsung menerima bantuan yang sepatutnya diperuntukkan untuk rakyat tempatan malah kerajaan terpaksa tanggung beban kos subsidi golongan ini.

Lebih menyedihkan apabila ada segelintir warga asing atau PATI yang mengambil kesempatan dengan menjual semula barangan yang disubsidikan ke pasaran dengan meletakkan harga jauh lebih tinggi.

Zakiah
Zakiah

Orang ramai yang tidak mempunyai pilihan terpaksa juga beli dengan mereka menyebabkan rakyat kita sendiri tertindas.

Saya harap dengan pelaksanaan subsidi bersasar, perbelanjaan kerajaan untuk rakyat Malaysia dapat disalurkan kepada yang berhak dan tiada istilah terima hak yang sama untuk warga asing.

Mungkin golongan yang berpendapatan tinggi atau T20 tidak akan terkesan dengan sebarang perubahan ini sama ada diteruskan subsidi bersasar atau tidak tetapi sekurang-kurangnya dapat menangani ketidaksamaan ekonomi dalam masyarakat. - Pembantu makmal, Zakiah Othman, 54

SAYA yakin tindakan kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar ini merupakan langkah tepat untuk melindungi golongan berpendapatan rendah yang terkesan teruk akibat kos sara hidup tinggi.

Inisiatif ini bukan satu kaedah yang akan membebankan rakyat kerana kemudahan tersebut cuma tidak dinikmati lagi oleh golongan kaya dan bukan warganegara.

Ia adil kerana golongan berpendapatan tinggi yang dikecualikan daripada menerima subsidi ini sememangnya sudah berkemampuan dan tidak akan menjejaskan kuasa beli mereka.

Selain itu, pengurangan subsidi ini akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan dapat menambah perbelanjaan kerajaan untuk perkhidmatan yang lain seperti kesihatan dan pendidikan.

Sebagai contoh, kerajaan dapat menaik taraf atau membina sekolah baharu terutama di kawasan luar bandar atau pedalaman disebabkan lebihan perbelanjaan daripada pemberian subsidi berkenaan.

Siti Khadijah
Siti Khadijah

Saya juga difahamkan kerajaan akan menambah kadar bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) jika subsidi bersasar berjaya dilakukan.

Jadi, saya tidak rasa sebarang masalah dengan pelaksanaan tersebut kerana semuanya dilakukan demi kebaikan rakyat di negara ini juga.

Malah, tindakan kerajaan dengan melaksanakan inisiatif ini dapat mengurangkan hutang negara yang semakin membimbangkan dari tahun ke tahun. - Suri rumah, Siti Khadijah Mohamad, 29

NEGATIF

'Peniaga T20 yang tidak terima subsidi, mungkin akan naikkan harga barangan mereka'

BAGI saya, inisiatif ini akan memberi kebaikan khususnya terhadap golongan B40 dan M40, namun ia akan menyusahkan beberapa pihak dalam menguruskan subsidi bersasar tersebut.

Premis perniagaan akan menghadapi kesukaran untuk memeriksa golongan yang betul-betul layak mendapatkan subsidi bersasar dan kemungkinan akan ada T20 atau warga asing mengambil kesempatan ini.

Ia juga akan menyusahkan pihak kedai untuk mendapatkan pelbagai maklumat pelanggan sebelum memberi subsidi terhadap beberapa barangan tersebut.

Selain itu, saya juga berpendapat inisiatif ini tidak adil untuk rakyat di negara ini kerana golongan T20 juga seharusnya menerima manfaat yang sama seperti kelas masyarakat lain.

Fais
Fais

Pemberian bantuan kerajaan kepada rakyat perlu adil dan dilakukan seperti sebelum ini yang mana semua layak mendapat manfaat ini dan mungkin boleh mengecualikan bukan warganegara daripada menerima manfaat berkenaan.

Jika difikir secara logik, pengusaha industri kebanyakannya tergolong dalam T20 menyebabkan mereka tidak akan menerima subsidi bersasar seperti elektrik, maka kemungkinan akan berlaku kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Maka, kesan yang diterima pengguna sama sahaja dan mungkin lebih teruk dan akhirnya berlaku ketidakseimbangan ketara.

Saya harap kerajaan membuat penelitian secara menyeluruh sebelum melaksanakan subsidi bersasar kerana kebimbangan saya ia akan menjadi beban kepada rakyat malah bukan membantu. - Pekerja swasta, Fais Khalid Shah, 24

PADA pandangan saya, kaedah pemberian subsidi terhad kepada golongan bawahan sahaja akan menimbulkan banyak masalah kerana kos sara hidup yang berbeza antara bandar dengan luar bandar dan negeri.

Kos sara hidup rakyat di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Selangor tidak boleh ‘dipukul’ sama rata dengan masyarakat yang berada di Kelantan kerana perbezaan kos yang ketara dari segi barangan, sewa dan sebagainya.

Sebagai contoh, penduduk berpendapatan RM8,000 sebulan mungkin tergolong dalam T20 apabila menetap di Kelantan tetapi akan berubah menjadi M40 jika mereka tinggal di Kuala Lumpur.

Sememangnya benar subsidi bersasar ini dapat membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah, tetapi ia agak sukar dilaksanakan.

Aariz Zafran
Aariz Zafran

Tambahan pula, masyarakat sekarang kebanyakannya membuat lebih daripada satu kerja dan mempunyai pendapatan sampingan seperti berniaga dalam talian, bekerja sebagai pemandu e-hailing dan banyak lagi.

Kadang-kadang, pendapatan sampingan mereka lebih tinggi berbanding gaji tetap yang diterima setiap bulan menyebabkan pemberian subsidi mengikut kelas ini sukar dilaksana secara menyeluruh.

Maka, ada segelintir individu yang mungkin akan mengambil kesempatan terhadap pemberian subsidi ini.

Saya harap kerajaan mengambil kira semua aspek sebelum melaksanakan subsidi bersasar ini, mungkin mengecualikan pemberian ini kepada warga asing sahaja sudah cukup memadai. - Peniaga makanan, Aariz Zafran Norazman, 33

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!