Desak Anies ubah kempen Pilpres?

Anies (kiri) dan Muhaimin.
Anies (kiri) dan Muhaimin.
A
A
A

APAKAH program Desak Anies akan menjadi game changer dalam Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Indonesia tahun ini? Apakah rancangan bersemuka dengan rakyat ini akan menjadi pemacu baharu sokongan ke atas Calon Presiden (Capres) Indonesia, Anies Baswedan?

Konsep Desak Anies mudah. Beliau turun ke padang untuk menemui bakal pengundi. Pada mulanya sasarannya adalah generasi Z dan milenium khususnya mahasiswa kemudian dipanjangkan kepada petani, nelayan, kelompok agama dan lain-lain.

Program itu dipromosikan sebagai forum demokrasi terbuka dan platform untuk menemui dan mendampingi pengundi, mendengar teguran dan kritikan serta menjawab sebarang soalan.Tidak seperti forum terbuka yang biasa, orang yang mahu bertanya ditampilkan ke hadapan Anies.

Setakat ini beliau telah berdepan dengan mahasiswa di Pontianak; nelayan di Pantai Blimbingsari, Banyuwangi; bersama alim ulama di Tuban; petani di Desa Sobontoro Magetan dan banyak lagi tempat lain.

Pasangan Calon (Paslon) Anies Basdewa-Muhaimin Iskandar sering mendakwa bahawa suara rakyat semakin hilang dan dipendam. Maka Desak Anies ialah peluang untuk menghadirkan demokrasi yang cerdas semasa Pilpres.

Ini juga peluang pendidikan politik yang sebenar untuk rakyat. Para pemimpin harus diuji kemampuannya selain pemikiran, gagasan, visi serta misi mereka.

Banyak pemerhati politik melihat program ini sebagai sangat bermakna. Malah, ia mengubah sama sekali senario kempen Pilpres.

Selama ini calon berkempen secara tradisional, bercakap di pentas terbuka atau atau dewan yang disediakan tetapi Desak Anies dibuat tanpa perlu mengusung ratusan atau ribuan penyokong dengan bas dan diberi upah untuk hadir. Mereka datang ke program tersebutdengan kerelaan sendiri.

Pasukan Anies sedar mereka berdepan dengan jentera pilihan raya yang hebat milik Paslon Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka dan Ganjar Pranowo-Mahfud MD. Prabowo didukung oleh parti Gerindra dengan dukungan beberapa parti lain termasuk Golkar.

Ganjar didukung oleh parti berpengaruh Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang diketuai oleh Megawati Sukarnoputri serta beberapa parti lain. Anies pula didukung oleh Parti Nasional Demokrat (NasDem) bersama parti-parti kecil dengan kemampuan yang terbatas.

Maka, Anies harus menggunakan pendekatan yang berbeza. Anies yang membawakan politik gagasan harus mampu menjual dirinya sebagai teras perubahan bagi Indonesia. Antara tiga Capres, memang Anies ketara sebagai orator yang hebat dengan hujah dan fakta yang mantap.

Debat Perdana Capres pada 12 Disember lalu jelas menampilkan keintelektualannya tetapi Capres tidak diukur menerusi prestasi dalam debat sedemikian sahaja.

Malah, ada pandangan yang mengatakan bahawa beliau terlalu serius orangnya. Prabowo misalnya mengambil pendekatan santai, berjenaka malah bersilat di khalayak.

Artikel Berkaitan:

Anies dan Muhaimin juga berdepan dengan tinjauan atau polling yang sejak awal tidak menyebelahi mereka. Pada peringkat awal lapan daripada sembilan firma undian menunjukkan bahawa Prabowo-Gibran jauh mendahului Ganjar-Mahfud MD dan Anies-Muhaimin. Hanya sebuah firma yang memenangkan Ganjar-Mahfud MD.

Perbezaan tahap electability di antara pasukan Prabowo dan Anies cukup jauh, rata-rata Prabowo mencatat lebih 40 peratus sedang Anies di dalam lingkungan 20 peratus atau kurang.

Memang banyak orang yang mempertikaikan hasil polling itu.

Mantan wakil Presiden Indonesia, Jusuf Kala mengingatkan agar jangan terlalu taksub pada dapatan polling.Beliau mengingatkan gelombang sambutan terhadap Anies di Sumatra, Jawa, Kalimantan dan tempat-tempat lain.

Beliau yakin polling hanya memberikan satu aspek daripada gambaran penerimaan rakyat pada masa ini. Lagipun ada banyak masa untuk Paslon Anies-Muhaimin memperkuatkan kedudukan.

Memang netizan nampaknya membuat banyak jenaka dan parodi apa sahaja yang dibuat oleh Paslon Prabowo-Gibran.

Serangan ke atas Gibran juga nampaknya teruk sekali tetapi rata-rata rating mereka tidak merudum. Apakah maknanya bahawa kecaman, sindiran, parodi dan jenaka itu hanya memperkuat kedudukan Prabowo-Gibran?

Anies juga nampaknya memanfaatkan aplikasi media sosial seperti TikTok untuk mendekati golongan muda. Beliau mengakui bahawa aplikasi itu baharu dan asing baginya tetapi percubaan dilakukannya itu menunjukkan hasil yang positif.

Beliau sendiri mengakui bahawa kempen kali ini melampaui cara tradisional yang menggunakan sepanduk, gegantung dan ceramah.

Beliau sedar perlunya mendekati 127 juta pengundi generasi Z dan milenium yang akan menentukan siapa Presiden dan Wakil Presiden pada Februari ini.

Pilpres kali ini disekalikan dengan pemilihan anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Dewan Perwakilan Daerah (DPD) dan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD).

Undang-Undang (UU) Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia membolehkan dua pilihan pungutan suara untuk Pilpres. Paslon yang terpilih sebagai Presiden atau Wakil Presiden adalah mereka yang memperoleh lebih 50 peratus dari jumlah undian Pilpres.

Sekiranya tidak ada Paslon yang memperoleh lebih 50 peratus undian daripada pemilihan pusingan pertama, maka akan diadakan undian pusingan kedua.

Sebagai contoh, dalam Pilpres 2004 terdapat lima Paslon. Dalam pusingan pertama, Paslon yang mendapat undi terbanyak hanya memperoleh 33.5 peratus iaitu pasangan Susilo Bambang Yudhoyono (SBY)-Yusuf Kala.

Dua Paslon tertinggi diundi semula dan memberikan kemenangan 60.6 peratus kepada SBY-Jusuf Kala. Mereka mengalahkan Megawati Sukarnoputeri-Hashim Muzadi yang memperoleh 39.3 peratus undi.

Pusingan pertama Pilpres 2024 ini penting. Banyak pemerhati percaya tidak ada Paslon yang akan memperoleh lebih 50 peratus dalam pusingan pertama. Sekiranya itu berlaku maka dua Paslon tertinggi akan diundi semula.

Apakah Anies akan membuat kejutan?

* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau mengikuti Pemilu, Pilpres dan DPR Indonesia pada kali ini dengan penuh minat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!