Seorang maut, dua cedera motosikal terbabas dalam parit
MELAKA - Seorang penunggang motosikal lelaki maut dan dua cedera selepas motosikal ditunggangi mereka terbabas ke dalam parit di Jalan Bukit Katil di sini, pada Khamis.
Dalam kejadian jam 6.49 pagi itu, mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, PBK II Riduan Ahmad berkata, sepasukan pegawai serta anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
"Setiba di lokasi, kita mendapati tiga penunggang motosikal telah terbabas ke dalam parit yang sedang dalam proses pembinaan.
"Kerja-kerja menyelamat mangsa dilakukan dan mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Tambahnya, dua mangsa yang cedera dan masih belum dikenal pasti dihantar ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!