Ketua Pemuda UMNO selongkar sampah, cari individu degil
JASIN - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh kecewa dengan sikap masyarakat yang tidak bertanggungjawab yang membuang sampah di tepi Jalan Merlimau/Muar.
Menerusi video berdurasi 2.47 saat yang dimuat naik di media sosialnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, sanggup turun padang ke lokasi pembuangan sampah haram tersebut pada jam 12.55 tengah malam dan mendapati masih terdapat beberapa plastik longgokan sampah.
Menurut Muhamad Akmal, tempat berkenaan telah dibersihkan pada pagi Khamis dan tidak membenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) meletakkan sebarang tong sampah di tempat itu bagi menggelakkan masalah sampah dan pemandangan yang mencacatkan.
Beliau yang juga merupakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, berkata, malangnya selepas beberapa jam beliau membuat tinjauan sekali lagi ke lokasi berkenaan mendapati masih ada individu yang tidak bertanggungjawab membuang sampah-sarap.
"Kita bersihkan sebelah pagi, dah angkat tong sampah kecil pun tetap ada orang degil dan tidak bertanggungjawab buang sampah macam tak ada langsung kesedaran.
"Baik kalau cabar saya, saya boleh jadi lebih gila dari apa yang anda bayangkan," katanya.
Muhamad Akmal dilihat membuka plastik sampah bagi mencari maklumat dan mengenal pasti individu yang melakukan perbuatan tersebut
"Tunggu saya akan cari orang yang tak ada langsung tanggungjawab.
"Jangan sampai kalau saya dapat tangkap, kalau saya tahu siapa yang buang, semua sampah ini saya akan longgokan depan pintu rumah yang buang," katanya dalam video itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!