[VIDEO] 'Perodua sudah jawab, tapi masih tiada solusi' - Pemilik kereta Bezza
SHAH ALAM - Syarikat Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) Sales Sdn Bhd masih tidak memberi solusi yang tuntas meskipun telah mengeluarkan kenyataan media berhubung isu kereta jenis Bezza yang rosak dalam masa lapan jam walaupun baru dibeli.
Pemilik kereta berkenaan, Nagakanni Subramaniam, mendakwa terdapat beberapa kesalahan fakta dalam kenyataan balas syarikat tersebut.
"Saya dimaklumkan Perodua sudah jawab, tapi saya nak betulkan sedikit fakta. Solusi Perodua adalah untuk saya beli kereta kedua dengan cara mengemukakan pinjaman kereta kedua.
"Ada jaminan secara hitam putih tak yang kata kereta pertama saya akan dibeli semula dan saya tak perlu bayar pinjaman pertama? Takde. Sudah lebih dua bulan masih belum ada apa-apa maklumat secara terperinci mengenai pembelian balik, tempoh pembelian balik, pembayaran pinjaman dan semua itu," katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.
Perodua dalam kenyataan medianya pada Rabu, memaklumkan bahawa syarikatnya menawarkan dua pilihan kepada Nagakanni.
Ketua Pegawai Operasinya, JH Rozman Jaafar berkata, beberapa langkah telah diambil termasuk menawarkan kereta sementara kepadanya untuk digunakan dan pilihan membeli semula unit berkenaan.
Tambah Nagakanni, Perodua sewajarnya memudahkan urusannya kerana apa yang dimahukannya pada masa sekarang adalah penyelesaian 'menang-menang'.
"Isunya mudah. Saya beli kereta dengan Perodua, enjin rosak kononnya sebab ada benda asing seperti gula, saya tak dapat penggantian kereta baru dan masih kena bayar kereta tu setiap bulan.
"Kalau betul Perodua kata nak beli kereta saya, silakan. Tapi mana hitam putih itu? Sehingga hari ini saya masih belum ada. Jangan buat kenyataan media hanya untuk redakan suasana tapi sebenarnya tak selesaikan pun masalah saya. Saya nak penyelesaian, bukan nak cari gaduh atau tular," katanya lagi.
Terdahulu Nagakanni meluahkan rasa kecewa apabila kereta Perodua Bezza yang dibelinya pada 17 Oktober lalu rosak dalam masa lapan jam.
Dia juga memaklumkan, terpaksa membayar ansuran bulanan kereta sebanyak RM537 walaupun masih rosak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!