Dua penyeludup petrol lari dalam semak tinggal kereta

Antara botol berisi minyak petrol ditemui dalam kereta.
Antara botol berisi minyak petrol ditemui dalam kereta.
A
A
A

TUMPAT - Dua lelaki disyaki penyeludup petrol bertindak melarikan diri ke dalam semak meninggalkan kenderaan dinaiki bagi mengelakkan dicekup anggota penguat kuasa dalam serbuan di Batas Besar, Mukim Delima di sini pada Rabu.

Kedua-dua suspek bertindak sedemikian dipercayai selepas aktiviti penyeludupan yang dilakukan itu berjaya dikesan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan.

PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor berjaya merampas 1,950 liter petrol dalam dua kenderaan yang ditinggalkan.
PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor berjaya merampas 1,950 liter petrol dalam dua kenderaan yang ditinggalkan.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, serbuan jam 11.30 pagi dilakukan bersama dengan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor berjaya merampas 1,950 liter petrol dalam dua kenderaan yang ditinggalkan.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas kereta jenis Proton Gen2 dan Wira Aeroback itu membawa kepada penemuan bahan api terbabit.

"Terdahulu suspek dikesan membuat pembelian pengisian ke dalam tangki ubah suai kenderaan dan tong-tong jeriken secara berulang di beberapa stesen minyak sekitar Pasir Pekan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Antara botol berisi minyak petrol ditemui dalam Proton Gen2.
Antara botol berisi minyak petrol ditemui dalam Proton Gen2.

Menurut beliau, minyak petrol itu kemudian akan dibawa ke pangkalan haram di sempadan sebelum diseludup ke negara jiran.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!