Syor syarikat gagal sedia kerja kepada pekerja asing dikompaun RM30,000
PUTRAJAYA- Syarikat yang membawa masuk pekerja asing dan gagal menyediakan pekerjaan di dalam tempoh sebulan dicadang dikenakan kompaun sehingga RM30,000 bagi setiap pekerja.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu bagi memastikan kouta pekerja asing dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak yang memerlukan buruh asing.
"Kita dapat banyak laporan mengatakan banyak pekerja asing datang ke negara ini tetapi tiada kerja sedangkan di ladang memerlukan ramai pekerja," katanya menerusi sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan kementerian di sini pada Khamis.
Menurutnya, perkara itu telah dibangkitkan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.
"Isu ini kita perlu tangani segera kerana ia memberi imej tidak baik kepada negara sedangkan terdapat industri yang memerlukan pekerja asing," katanya.
Beliau berkata, kementerian tidak mempunyai punca kuasa untuk memindahkan pekerja asing yang telah di bawa masuk ke industri memerlukan.
"Kementerian Sumber Manusia (KSM) hanya memberi kouta kepada industri yang memohon tetapi jika mereka tidak menyediakan kerja, kementerian tidak boleh memindahkan pekerja asing tersebut," katanya.
Ujar Johari, sekiranya kerajaan tidak campur tangan, syarikat berkenaan berkemungkinan menjadikan kemasukan pekerja asing sebagai satu perniagaan.
"Kalau mereka bawa datang pekerja, tunggu siapa datang baru hendak bekalkan, bermakna benda ini satu perniagaan. Tidak boleh," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, KSM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan duduk semeja bagi membincangkan langkah penyelesaian berhubung punca kuasa pengurusan pekerja asing.
"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mahu ia diselesaikan segera," katanya.
Pada Rabu, Menteri KDN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri KSM Steven Sim Chee Keong mengadakan pertemuan bagi membincangkan usaha menambah baik aspek pengurusan pekerja asing di negara ini, termasuk isu eksploitasi.
Pada 26 Disember lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mendedahkan dianggarkan 2,500 pekerja asing ditipu syarikat dan agen pekerjaan di Pengerang, Johor.
Ia susulan laporan media mengenai ratusan warga Bangladesh yang berjalan beramai-ramai di Pengerang selepas didakwa ditipu ejen pekerjaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!