Turkiye hantar lebih 2,300 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza
MERSIN - Turkiye akan menghantar 2,334 tan bantuan kemanusiaan untuk Palestin dan kapal yang membawa bantuan itu sudah bersedia untuk belayar ke Mesir, kata pihak berkuasa pengurusan bencana negara itu pada Rabu.
Bantuan yang terdiri daripada konvoi 109 trak itu akan diangkut menggunakan kapal Bestekar yang berlabuh di Pelabuhan Antarabangsa Mersin di pantai timur laut Laut Mediterranean di selatan Turkiye.
Bantuan itu disediakan dengan bantuan 29 pertubuhan bukan kerajaan dan diselaraskan oleh Presidensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) dan Gabenor Mersin.
"Kami akan menghantar 2,334 tan bahan bantuan kemanusiaan, termasuk tepung, pasta, air, pes tomato, gula, khemah, selimut dan bahan kebersihan.
"Palestin adalah negara saudara kami.
"Kami sentiasa menyokong mereka," kata ketua AFAD Wilayah Mersin, Cenk Yildiz kepada Agensi Berita Anadolu.
Kapal itu akan berlabuh di Pelabuhan Al-Arish Mesir sebelum bantuan disalurkan ke Palestin.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, rejim Israel telah menyerang Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas, membunuh sekurang-kurangnya 22,313 rakyat Palestin kebanyakannya wanita dan kanak-kanak selain mencederakan 57,296 yang lain.
Serangan itu turut mengakibatkan kebanyakan penduduk di wilayah yang berjumlah lebih 2.2 juta itu kehilangan tempat tinggal dan kekurangan makanan serta keperluan asas. - Bernama/Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!