Kosma, RHB sedia mesin ATM guna tenaga solar
ROMPIN - Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) dengan kerjasama RHB Bank menyediakan mesin pengeluaran automatik (ATM) menggunakan tenaga solar yang pertama di Malaysia dalam ladang kelapa sawit di negara ini.
Usaha tersebut menjadikan Ladang Kosma sebagai perintis menawarkan khidmat tersebut kepada lebih 1,000 pekerja di ladang sawit Bandar Tun Razak, Keratong di sini.
Pengerusi Kosma, Datuk Zamri Mohamad berkata, pihaknya bangga dengan usaha tersebut yang dapat memberikan kemudahan untuk pekerja dan penduduk sekitar mendapatkan kemudahan ATM.
"Mesin ATM ini dipasang di pintu masuk pondok pengawal keselamatan Ladang Kosma memberi kemudahan kepada pekerja asing Indonesia dan Bangladesh untuk mengambil dan menghantar wang ke negara asal.
"Kemudahan ini juga memberi manfaat kepada lebih 4,000 penduduk sekitar yang selama ini terpaksa ke Bandar Muadzam Shah atau ke Bahau yang jaraknya kira-kira 50 kilometer untuk mengeluarkan wang," kata sempena majlis pelancaran kemudahan tersebut baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Jualan Wilayah, Deposit Wilayah Pantai Timur, Noorazmadee Salleh dan Timbalan Pengerusi Kosma, Datuk Mohd Sabri Abdullah.
Ujar Zamri lagi, kemudahan itu turut memberi manfaat besar kepada 150 staf Kosma dan ladang sekitar seperti Ladang Berembun dan Ladang Felda Bera.
Jelasnya, selaras dengan perkembangan teknologi, setiap pekerja asing dibayar gaji mereka melalui akaun bank dan tidak lagi secara tunai.
Sementara itu, Mohd Sabri berkata, penyediaan mesin ATM itu adalah satu pendekatan mesra Kosma kepada pekerja ladang asing untuk mengeluarkan wang gaji untuk keperluan diri sendiri di rumah kongsi yang disediakan majikan.
"Kosma menganggap pekerja asing sebagai rakan yang sangat berjasa sebagai tenaga penting dalam pengeluaran produk dan hasil kepada koperasi," tambahnya ia juga memberikan kelegaan kepada pekerja terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!