Terima aduan rumput panjang, YB sendiri turun mesin
KUALA LANGAT - Jika kebiasaan wakil rakyat akan memanjangkan aduan diterima kepada agensi berkaitan namun Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi mengambil pendekatan berbeza dengan menyelesaikan masalah itu sendiri.
Menerusi kemas kini di Facebook, Ahmad Yunus yang menerima aduan isu rumput panjang telah mengambil tindakan dengan memotong rumput itu sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada agensi berkaitan.
"Saya mendapat aduan jalan masuk ke Kampung Medan, lalang sangat tinggi sehingga menyukarkan pandangan dan dibimbangi berlaku kemalangan.
"Hari ini (Selasa) saya bersama dengan Jabatan Amal Pemuda Pas Kuala Langat bergotong-royong membersihkan kawasan tersebut.
"Semoga ianya dapat mempermudahkan urusan masyarakat sekitar, " menurutnya.
Inisiatif yang dilaksanakan oleh wakil rakyat pembangkang itu mendapat maklum balas positif dalam kalangan pengikut media sosialnya yang kebanyakan meninggalkan komen alhamdulillah dan terbaik.
Selain mengucapkan terima kasih, seorang pengguna yang selalu menggunakan jalan tersebut turut mengakui kawasan itu memang semak.
Tidak kurang juga yang berseloroh dengan meninggalkan komen 'selamat beramal dan lupakan peruntukan'.
Selain itu, ada yang melabel Ahmad Yunus sebagai seorang yang prihatin dan ambil peduli dengan aduan dikemukakan rakyat.
"Alhamdulillah terbaik, memang terbukti YB (yang berhormat) sangat prihatin dan ambil peduli pasal semua isu.
"Sempoi YB turun padang gotong-royong mesin rumput. Hanya ALLAH SWT dapat membalasnya dan semoga YB sentiasa berada di bawah lindungan Allah, " komen Syarifah Nur Syahamah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!