Pihak berkuasa Jepun masih kesan 51 orang yang hilang

Penduduk memindahkan bekalan harian ke khemah di Hakui, wilayah Ishikawa, Jepun. Foto Xinhua
Penduduk memindahkan bekalan harian ke khemah di Hakui, wilayah Ishikawa, Jepun. Foto Xinhua
A
A
A

TOKYO - Pihak berkuasa Wilayah Ishikawa Jepun masih berusaha mengesan 51 orang yang dilaporkan hilang akibat gempa bumi kuat dan beberapa siri gegaran susulan yang melanda wilayah itu pada tahun baharu, lapor Sputnik memetik Agensi Berita Kyodo pada Khamis.

Di bandar Wajima yang mencatatkan angka kematian tertinggi akibat bencana itu, enam orang dilaporkan hilang. Perkhidmatan menyelamat menerima 40 hingga 50 laporan mengenai bangunan runtuh yang mungkin menyebabkan penduduk terperangkap, lapor Kyodo memetik pentadbiran tempatan.

Pada sidang media pada pagi Khamis, Perdana Menteri, Fumio Kishida sekali lagi menggesa semua yang terlibat dalam operasi pencarian supaya berusaha habis-habisan sebelum tempoh 72 jam yang merupakan masa yang sangat penting untuk menyelamatkan orang berakhir.

Pada petang Isnin, gempa bumi kuat berukuran 7.6 pada skala Richter diikuti beberapa siri gegaran susulan melanda kawasan berhampiran bandar Suzu di Semenanjung Noto di Wilayah Ishikawa.

Angka kematian akibat bencana itu setakat ini mencecah 78 manakala lebih 100 yang lain cedera.

Gegaran itu turut menyebabkan bangunan runtuh dan lebih 32,000 isi rumah terputus bekalan elektrik.

Gempa bumi pada 1 Jan 2024 itu merupakan bencana paling besar berlaku di wilayah Semenanjung Noto sejak 1885. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!