Lapor kepada KPM jika harga makanan di kantin sekolah naik

Fadhlina (tengah) berbual bersama murid ketika tinjuan di SJKC Yeong Chang, di Sungai Suloh, Batu Pahat pada Khamis.
Fadhlina (tengah) berbual bersama murid ketika tinjuan di SJKC Yeong Chang, di Sungai Suloh, Batu Pahat pada Khamis.
A
A
A

BATU PAHAT - Ibu bapa boleh membuat aduan terus kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekiranya terdapat isu kenaikan harga makanan di kantin-kantin sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, setiap sekolah perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap harga makanan kerana isu berkaitan kantin membabitkan antara pihak sekolah dan juga pengusaha kantin.

Beliau seterusnya memberi jaminan, KPM akan memberikan perhatian terhadap isu tersebut, namun jelasnya, setakat ini KPM masih belum menerima aduan berkaitan isu harga makanan yang meningkat di kantin sekolah.

“KPM akan berikan perhatian sewajarnya, namun setakat ini, ia mungkin berlaku antara pihak sekolah dan kantin, jadi kita minta ianya diselesaikan secara baik.

“Namun sekiranya ada isu berkaitan dan ianya terus berbangkit bolehlah buat aduan terus kepada kita (KPM),” katanya ketika diminta mengulas berkenaan harga makanan di kantin sekolah.

Fadhlina (kanan) melawat SJKC Yeong Chang, di Sungai Suloh, Batu Pahat pada Khamis.
Fadhlina (kanan) melawat SJKC Yeong Chang, di Sungai Suloh, Batu Pahat pada Khamis.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yeong Chang, di Sungai Suloh dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Mahmood Iskandar dekat sini, pada Khamis.

Lawatan itu bertujuan meninjau persiapan sesi persekolahan dan juga kesiapsiagaan menghadapi banjir memandangkan kedua-dua sekolah itu antara yang terkesan akibat bencana itu, sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, jelas Fadhlina KPM, akan terus berusaha untuk menyatukan pasangan ‘guru jarak jauh’ dengan akan mempertimbangkan semua permohonan berdasarkan kepentingan pendidikan dan dilakukan mengikut prosedur serta proses sedia ada.

Fadhlina (duduk, tiga dari kiri)bergambar bersama guru SJKC Yeong Chang.
Fadhlina (duduk, tiga dari kiri)bergambar bersama guru SJKC Yeong Chang.

"Kita memandang serius isu guru gagal mendapat tempat pertukaran atau berada dalam situasi perhubungan jarak jauh, di mana permohonan pertukaran guru berlangsung secara berterusan dengan prosesnya dijalankan empat kali setahun berdasarkan rekod cuti sekolah.

“Saya fikir proses pertukaran guru jarak jauh ini sudah dijalankan dan KPM akan pertimbangkan semua permohonan berdasarkan kriteria ditetapkan. faktor tertinggi untuk diambil kira bagi proses pertukaran adalah suami isteri yang terpisah secara jauh,” katanya.

Sebelum itu, tular luahan sekumpulan guru wanita dan lelaki 'duka lara' dalam kumpulan Facebook dikenali 'e-Gtukar Pertukaran Guru – Oh e-Gtukar!'.

Mereka berkongsi masalah peribadi di Facebook berkenaan selepas berkali-kali gagal dalam permohonan pertukaran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!