Lima nelayan cemas, bot terbelah dua dilanggar paus jerung
LANGKAWI - Lima kru warga tempatan berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki karam di lokasi berhampiran Pulau Balar, di sini pada petang Rabu.
Bot mereka karam akibat terbelah dua selepas dilanggar oleh sekumpulan paus jerung di kawasan tersebut.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim, Romli Mustafa berkata, Maritim Malaysia telah menggerakkan Bot Kilat 6 yang diletakkan sebagai bot khas Carilamat untuk mengesan bot terbabit.
“Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah menerima maklumat daripada aduan awam MERS 999 dan pengadu memaklumkan mendengar panggilan kecemasan dari radio VHF bot rakannya yang dikhuatiri karam.
“Kesemua kru bot yang berusia dalam lingkungan 23 hingga 58 tahun telah berjaya diselamatkan oleh bot nelayan yang berada berhampiran dengan kejadian dan kesemua mereka dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Romli berkata lagi, Komuniti Maritim adalah diingatkan supaya sentiasa membawa dan memakai jaket keselamatan ketika berada di laut dan digalakkan membawa Personal Locator Beacon (PLB) sebagai alat keselamatan sekiranya berlaku kecemasan.
Menurutnya, sebarang laporan mengenai aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (04-9602750) atau talian kecemasan MERS 999.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!